Razarudin Husain
PETALING JAYA: Sebanyak 52,994 individu ditahan kerana terlibat dalam jenayah pelacuran dan perjudian di seluruh negara dalam tempoh 18 bulan lalu.
Jumlah itu membabitkan 24,571 individu terlibat dengan perjudian manakala 28,423 orang lagi ditahan berkaitan kegiatan pelacuran sepanjang tahun 2023 hingga Jun lalu.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, polis tidak berdiam diri selain mempergiat operasi dan serbuan bagi menangani kegiatan haram tersebut.
“Sepanjang tahun lalu, kita menahan seramai 16,052 individu melalui 12,497 serbuan Op Dadu di seluruh negara melibatkan rampasan wang dianggarkan berjumlah RM3.84 juta.
“Tangkapan tersebut membabitkan serbuan di pusat panggilan, judi dalam bangunan, judi luar bangunan dan catit taruh.
“Bermula Januari hingga Jun lalu, seramai 8,519 individu ditahan menerusi 6,327 serbuan dan merampas wang kira-kira RM1.64 juta,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, Isnin.
Menurut Razarudin, sepanjang 2023 hingga Jun lalu pula, polis menahan 28,423 individu berkaitan kes pelacuran.
Beliau berkata, ia membabitkan 15,199 individu ditahan pada 2023 manakala 13,224 lagi untuk enam bulan tahun ini.
“Sebanyak 3,824 serbuan dijalankan pada tahun lalu manakala kira-kira 1,980 serbuan sejak Januari hingga Jun lalu. Operasi banyak dilakukan di beberapa buah antaranya Lembah Klang, Johor dan Pulau Pinang.
“Dalam tempoh terbabit, seramai 13,648 wanita warga asing telah ditahan antaranya Thailand (5,150), Vietnam (3,721), Indonesia (1,723) dan China (936) orang,” katanya.
Beliau berkata, seramai 1,295 warga tempatan dipercayai terlibat dengan kegiatan tersebut turut ditahan.
Khamis lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendedahkan elemen rasuah dipercayai menjadi punca utama kewujudan kegiatan tidak bermoral seperti pelacuran dan judi haram di negara ini terus bertapak sejak sekian lama khususnya di ibu negara.
Tidak menolak kemungkinan itu, Anwar dilaporkan berkata, isu pelacuran dan judi haram di negara bukan sesuatu yang baharu sebaliknya sudah lama wujud.
Beliau percaya, kewujudan sarang pelacuran dan judi haram disebabkan berlaku elemen sogokan namun Anwar tidak menuding jari kepada mana-mana pihak.


































