Siti Norelyana Kamarulzaman. – Utusan
GUA MUSANG: Wanita yang mengalami kecederaan parah selepas dihempap kayu balak dalam kejadian di lampu isyarat dekat Persimpangan Bendahara, di sini pada minggu lalu kembali sedar selepas lima hari ditidurkan.
Menurut Utusan Malaysia, tunang mangsa, Nik Amnan Arif Nik Anuwar, 22, berkata, Siti Norelyana Kamarulzaman, 21, mulai sedar sejak Isnin dan kini berada di dalam keadaan yang lebih baik daripada sebelumnya.
“Dia juga boleh bercakap dengan baik, tetapi masih memerlukan masa untuk menggerakkan anggota badan.
“Pergerakan anggota badannya perlu dilakukan dengan perlahan-lahan dan berhati-hati,” katanya ketika dihubungi pemberita di sini kelmarin.
Nik Amnan Arif memberitahu, setakat ini, dia masih belum mendapat sebarang makluman mengenai rawatan selanjutnya yang akan dijalani oleh tunangnya itu.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, seorang wanita terselamat daripada ajal selepas motosikal yang dia tunggang dihempap muatan kayu balak dari sebuah treler ketika melalui selekoh di lampu isyarat dekat Persimpangan Bendahara, di sini.
Siti Norelyana mengalami kecederaan dalaman selepas ditimpa kayu balak yang tergolek di lampu isyarat terpaksa ditidurkan sebelum menjalani prosedur pembedahan.


































