Penyokong Perancis meraikan kejayaan mereka mara ke separuh akhir Kejohanan Eropah (Euro) 2024 selepas menewaskan Portugal 5-3 menerusi penalti di suku akhir kejohanan
HAMBURG: Jurulatih Perancis, Didier Deschamps menikmati kejayaan pasukannya memenangi penentuan sepakan penalti buat kali pertama sejak Piala Dunia 1998.
Menurut Utusan Malaysia, Skuad Les Bleus mara ke peringkat separuh akhir Kejohanan Eropah (Euro) 2024 selepas menewaskan Portugal 5-3 menerusi penentuan penalti selepas kedua-dua pasukan seri tanpa jaringan pada aksi suku akhir.
“Satu perlawanan yang sukar. Kami tahu Portugal pasukan yang bagus dan kedua-dua pasukan boleh menang.
“Perlawanan ini memberi kesukaran kepada kami pada masa tambahan mungkin kerana kami keletihan dan lawan menguasai permainan namun kami kekal bertenang dan pemain yang mengambil penalti mereka melakukannya dengan baik,” kata Deschamps.
Perancis tewas kepada Argentina di pentas final Piala Dunia 2022 menerusi penentuan penalti malah turut tersingkir daripada Euro 2020 dengan cara yang sama ketika bertemu Switzerland di pusingan kalah mati.
Skuad Les Bleus turut dikecewakan Itali pada final Piala Dunia 2006 menerusi sepakan penalti dan ini merupakan kali pertama Perancis menang dengan cara tersebut sejak mereka tewaskan Azzurri pada suku akhir Piala Dunia 1998 ketika Deschamps bergelar pemain.
Ousmane Dembele, Youssouf Fofana, Jules Kounde, Bradley Barcola dan Theo Hernandez kesemuanya menyempurnakan penalti buat Perancis.
“Saya berbangga dengan pemain walaupun kami tidak melakukannya dengan sempurna kami tidak putus asa dan sekali lagi kami layak ke separuh akhir.
“Saya mahu menikmati kejayaan kecil ini walaupun kami ada perlawanan seterusnya,” kata Deschamps.
Perancis layak ke separuh akhir buat kali keempat dalam lima kejohanan utama dan dijadual bertemu Sepanyol di Munich pada Selasa ini.
































