Hajiji (tengah) bergambar bersama Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Safar Untong (lima dari kanan) dan Ahli-ahli Jawatankuasa Penganjur TCRF 2024 yang diketuai oleh Datuk Robert Tawik (lima dari kiri) semasa kunjungan hormat itu.
KOTA KINABALU: The Crocker Range Festival (TCRF) 2024 yang kini masuk musim ke-7 akan diadakan di Dataran Keningau, Keningau, pada 19 hingga 21 Julai 2024.
Pelbagai acara menarik akan diadakan sempena TCRF 2024 antaranya perarakan dan persembahan Etnik Budaya Sabah, Miss & Mister Crocker Range, pertandingan mewarna kanak-kanak, pertandingan hiasan payung kreatif, pertandingan melukis doodle, strongman challenge, Northborneo motosport carnival 2.0, pertandingan pembuatan kraftangan, pertandingan nyanyian TCRVoice, pertandingan tarian rampaian Melayu, pertandingan manangon, pertandingan bercerita dan banyak lagi.
Selain itu, pelbagai jualan usahawan tempatan dan persembahan menarik juga menanti para pengunjung seperti acara pada waktu malam iaitu The Crocker Range Rhythm of Symphony yang akan diadakan pada 19 Julai, The Night of National Costume pada 20 Julai dan Final Miss & Mister Crocker Range (20 Julai) bermula jam 8.00 Malam.
Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor Perkara dimaklumkan mengenai festival ini oleh Ahli Jawatankuasa Penganjur TCRF 2024 yang mengadakan kunjungan hormat kepadanya di Menara Kinabalu, di sini, kelmarin.
Rombongan TCRF 2024 diketuai oleh Pembantu Menteri Kerja Raya Negeri, Datuk Robert Tawik yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N40 Bingkor.
Turut hadir Pegawai Daerah Keningau, Peter J. Moinjil, Pegawai Eksekutif Majlis Daerah Keningau, Mohd. Fawzi Abdul Kadir, Pengerusi Persatuan Pelancongan dan Kebudayaan Keningau, Rafie Robert dan Pengarah Program TCRF2024, Daffri Adzahari.
Menurut Rafie, TCRF yang diadakan sejak tahun 2015 itu dijangka dirasmikan oleh Timbalan Ketua Menteri I merangkap Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Negeri, Datuk Seri Dr. Jeffrey Kitingan yang juga Ahli Parlimen Keningau pada 20 Julai 2024, jam 8 malam.
Katanya, penganjuran festival seperti ini dapat menarik lebih ramai pengunjung daripada luar dan dalam negeri untuk datang ke daerah Keningau dan seterusnya dapat merangsang ekonomi penduduk setempat, sekaligus dapat mempromosikan produk pelancongan tempatan.
Rafie turut mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua yang memberikan sokongan dan kerjasama, khususnya para penaja TCRF 2024 bagi memastikan festival ini dapat diadakan dengan jayanya.






























