Azizulhasni Awang, Muhammad Shah Firdaus Sahrom dan Nurul Izzah Izzati Mohd Asri bersama basikal WX-R Vorteq yang akan digunakan untuk berlumba di Sukan Olimpik Paris 2024.
PETALING JAYA: Pelumba basikal sensasi negara, Nurul Izzah Izzati Mohd Asri tekad mahu membina ‘gelaran’ sendiri berbanding diberi julukan The Pocket Rocketwoman.
Menurut Utusan Malaysia, julukan itu diterima sewaktu beliau mencipta kejutan menamatkan kemarau 12 tahun tanpa emas menerusi acara keirin pada Kejohanan Berbasikal Trek Asia (ACC) di New Delhi, India.
Bagaimanapun, pelumba dari Sungai Petani, Kedah itu mendedahkan beliau enggan berada dalam bayang Datuk Azizulhasni Awang sebaliknya mahu mencipta identitinya sendiri.
“Gelaran The Pocket Rocketwoman itu sejujurnya memberi saya semangat kerana mereka menyamakan kehebatan saya seperti Azizulhasni. Cuma saya harap, saya ada gelaran sendiri.
“Ketika ini saya hanya fokus untuk mempertingkatkan prestasi saya. Saya mahu jadi diri saya sendiri. Namun, gelaran itu memberi motivasi kepada saya untuk lebih laju dan tingkatkan diri saya,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Nurul Izzah menjadi wakil tunggal wanita negara menerusi acara berbasikal trek pada Sukan Olimpik Paris 2024 berdasarkan mata dan ranking selepas pusingan terakhir Piala Negara-negara (UCI) di Kanada, April lalu.
Sementara itu, jaguh berbasikal trek negara, Azizulhasni percaya bahawa Nurul Izzah mampu menjadi juara dunia suatu hari nanti.
“Saya percaya bahawa Izzah mampu melangkah jauh dalam sukan ini. Layak ke Olimpik pada umur 21 tahun itu satu permulaan yang bagus buat dirinya.
“Kami sebagai satu pasukan kekal memberi sokongan kepadanya namun terpulang kepada dirinya bagaimana dia mahu meningkatkan prestasinya dari semasa ke semasa,” katanya.
Ketika ini, Nurul Izzah bersama Shah Firdaus Sahrom dan Azizulhasni berada di Paris untuk persiapan akhir menjelang Olimpik selepas menamatkan latihan di London, Belgium dan Sepanyol sejak awal Jun lalu.


































