SEPANG: Seorang pengasuh wanita ditahan selepas disyaki mengasari seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun di sebuah taska di sini, baru-baru ini.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, wanita berusia 25 tahun itu ditahan di Jalan Labohan Dagang-Nilai kira-kira pukul 10 pagi ini.
Beliau berkata, tangkapan itu dibuat susulan laporan polis dibuat ibu mangsa petang semalam.
“Ibu mangsa mendakwa anak lelakinya dikasari suspek di sebuah taska di Jalan Putra Perdana, Putra Perdana. Mangsa tmenerima rawatan di sebuah klinik di Putra Perdana dan disahkan terdapat kesan lebam pada paha kanan dipercayai akibat dicubit,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang boleh membawa hukuman denda maksimum sehingga RM50,000 atau penjara maksimun 20 tahun atau kedua-duanya sekali.
Sebelum ini, tular satu hantaran di Facebook mengenai aduan oleh seorang bapa yang mendakwa anaknya dikasari pengasuh sehingga lebam di peha dipercayai dicubit.
Pemilik akaun Facebook dikenali sebagai Shamsul Samsuddin itu turut berkongsi beberapa gambar anaknya bersama kanak-kanak lain dalam taska berkenaan.
Bagaimanapun, anaknya dilihat tidak aktif seperti kanak-kanak lain dan dilihat banyak duduk dipercayai trauma akibat dikasari pengasuh berkenaan.
































