Donald Trump dan Joe Biden semasa pusingan pertama debat Pilihan Raya Presiden 2024 di Atlanta, Georgia pada 27 Jun lalu.
NEW YORK: Pusingan pertama Debat Presiden Amerika Syarikat (AS) minggu lalu, gagal memulihkan reputasi Presiden Joe Biden selepas prestasinya mengundang kritikan banyak pihak.
Menurut Utusan Malaysia, semasa perdebatan, Biden kadang kala dilihat gagal bercakap dengan lancar ketika hendak membalas kenyataan bekas Presiden, Donald Trump.
Di tengah-tengah desakan yang semakin meningkat untuk Biden berundur, wakil Republikan, Chip Roy memfailkan resolusi menggesa Naib Presiden, Kamala Harris memanggil Kabinet untuk memohon Pindaan ke-25 dan menggunakan kuasa sebagai pemangku presiden.
Dalam resolusi itu, Roy berkata, Biden berulang kali dan secara terbuka menunjukkan ketidakupayaan untuk melaksanakan tugas Presiden, termasuk sebagai Ketua Komander.
Menurut Pindaan Perlembagaan ke-25, Naib Presiden dan majoriti Kabinet boleh mengundi untuk mengisytiharkan Presiden tidak dapat melaksanakan tugas dan menyerahkan kepada Naib Presiden untuk memangku jawatan tersebut.
TRUMP DAKWA ‘MENANG BESAR’
Pesaing Biden dari parti Republikan, Trump mendakwa beliau memperoleh ‘kemenangan besar’ semasa debat dengan Presiden AS itu.
“Seperti yang anda lihat di televisyen, kita memperoleh kemenangan besar menentang seorang lelaki yang cuba memusnahkan negara ini,” kata Trump pada perhimpunan di Chesapeake, Virginia.
Kenyataan Trump dibuat selepas Biden mengakui faktor umur dan prestasi buruknya dalam debat, tetapi berikrar untuk memenangi pilihan raya, November ini.
“Ia bukan kerana umurnya, ia adalah kecekapannya. Beliau tidak dihormati di mana-mana dunia,” kata Trump.
Cara Biden menjawab dalam debat itu meningkatkan kebimbangan pengundi beliau mungkin tidak layak untuk berkhidmat selama empat tahun lagi.
Jurucakap White House, Karine Jean-Pierre mengesahkan Biden mengalami selesema dan sakit tekak semasa perdebatan berlangsung.
“Beliau mengalami selesema dan sakit tekak. Sekali lagi, Biden diuji negatif Covid-19 sebelum kami meneruskan debat,” katanya.
GESA TARIK DIRI
Sementara itu, akhbar paling berpengaruh di Amerika Syarikat (AS), New York Times menggesa Biden supaya menarik diri daripada bertanding Pilihan Raya Presiden.
Lembaga editorial akhbar tersebut menyatakan kebimbangan terhadap kesihatan Biden berikutan prestasinya dalam debat dengan Trump.
Lembaga itu berkata, Biden seperti mengalami kesukaran dalam menerangkan rancangannya untuk penggal kedua dan ketika membalas provokasi daripada pesaingnya, Trump.
“Para pengundi bagaimanapun, tidak boleh mengabaikan apa yang jelas terlihat, Biden bukan lagi seperti dirinya empat tahun lalu,” kata artikel itu.
Katanya, Presiden Biden yang berusia 81 tahun, gagal dalam ujian tersebut dan meminta beliau memberi laluan kepada calon lain daripada parti Demokrat untuk bersaing dengan Trump.
Bagaimanapun, lembaga akhbar itu menyatakan hasratnya untuk menyokong Presiden AS berkenaan sekiranya pertembungan itu masih antara Biden dan Trump.
































