Nur Shazrin Mohamad Latif
PETALING JAYA: Gabungan wajah baharu dan lama, penerjun negara, Bertrand Rhodict Lises dan atlet pelayaran, Nur Shazrin Mohamad Latif diberi tanggunggjawab besar sebagai pembawa Jalur Gemilang pada upacara perasmian Sukan Olimpik 2024 di Paris, Perancis 26 Julai ini.
Menurut Utusan Malaysia, Bertrand bakal melakukan penampilan sulungnya pada temasya terbesar di dunia itu, manakala, bagi Shazrin, dia akan beraksi buat kali ketiga selepas Sukan Olimpik 2016 di Rio de Janeiro, Brazil dan Sukan Olimpik 2020 di Tokyo, Jepun.
Utusan Malaysia difahamkan pemilihan dua atlet berkenaan adalah di atas hasrat Majlis Olimpik Malaysia (MOM) yang berhajat menggabungkan atlet baharu dan lama dalam penampilan Kontinjen Malaysia pada temasya itu kali ini.
Bertrand, anak jati kelahiran Sarawak berusia 19 tahun merupakan atlet pertama yang layak secara merit ke temasya empat tahun sekali itu kira-kira setahun yang lalu.
Pemilihan Bertrand, menjadikan dia sebagai atlet Sarawak keempat menggalas penghormatan tersebut selepas selepas atlet olahraga, Kuda Ditta (Rome 1960); penerjun, Bryan Nickson Lomas (Athens 2004) dan seorang lagi atlet terjun, Datuk Pandelela Rinong sewaktu temasya di London 2012.
Bagi Shazrin, 26, anak kelahiran Pasir Gudang, Johor, dia muncul sebagai atlet pelayaran pertama negara yang menerima pengiktirafan selaku pembawa Jalur Gemilang pada Sukan Olimpik.
Baik Bertrand, mahupun, Shazrin sewajarnya menerima pengiktirafan tersebut selepas kedua-duanya beraksi cemerlang pada Sukan Asia 2022 di Hangzhou.
Bertrand meraih pingat gangsa dalam acara 10 meter platform seirama, manakala, Nur Shazrin menggondol emas menerusi acara dinghy yang melayakkannya ke Paris.
Upacara perasmian dijadual berlangsung di Sungai Seine dengan penggangkutan bot akan membawa atlet bagi setiap kontinjen.
Kontinjen Malaysia bakal diwakili seramai 25 atlet daripada lapan sukan iaitu badminton, akuatik, berbasikal, memanah, menembak, pelayaran, angkat berat dan golf.
































