Ronaldo melayan peminat untuk berswafoto ketika aksi Portugal menentang Turkiye di Euro 2024, semalam
DORTMUND: Seorang peminat cilik berjaya meloloskan diri hanya semata-mata ingin berswafoto bersama Cristiano Ronaldo di tengah padang ketika perlawanan Turkiye menentang Portugal dalam aksi Kejohanan Eropah (Euro).
Menurut Utusan Malaysia, penyokong cilik yang memakai baju sukan berwarna merah melepasi kawalan keselamatan apabila muncul dari bangku simpanan pada pertengahan babak kedua sebelum berlari ke arah Ronaldo.
Ketika itu, Portugal sedang mendahului 3-0 dalam aksi Kumpulan F dan Ronaldo tersenyum untuk bergambar sebelum penyokong tersebut berlari melarikan diri daripada pengawal keselamatan.
Dia bagaimanapun ditangkap dan diiring keluar meninggalkan padang sambil menerima tepukan gemuruh daripada penyokong.
Tidak lama selepas itu, seorang remaja cuba meniru aksi yang sama bagaimanapun kali ini Ronaldo berasa kesal sambil mengangkat tangan sebagai tanda kecewa dan tidak bersetuju untuk berswafoto dengannya.
Remaja tersebut kemudiannya dipaksa meninggalkan padang perlawanan.
































