Anwar Ibrahim
KUALA LUMPUR: Dua isu utama yang dibangkitkan dalam Laporan Ranking Daya Saing Global (WCR) 2024 oleh Institut Antarabangsa bagi Pembangunan Pengurusan (IMD) sudah berjaya diselesaikan kerajaan.
Menurut Utusan Malaysia, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, isu berkenaan membabitkan soal kejatuhan ringgit dan penyasaran subsidi yang lambat dilaksanakan.
“Laporan 2023 berdasarkan maklumat 2022. (Apa) yang penting kita ambil pertimbangan tentang beberapa teguran dan tidak boleh dinafikan ialah suku tahun 2024 memang ada peningkatan dalam semua soal dibangkitkan.
“ Pada 2023 antara kritikan kerasnya adalah kegagalan kita melaksanakan penyasaran subsidi, itu kita telah baiki, jadi maknanya sebahagian besar masalah selesai atau positif.
“Kedua ialah, kelemahan ringgit. Tahun lalu diakui masalah ringgit yang mencabar tetapi suku tahun ini sudah pun ada peningkatan,” kata beliau selepas melancarkan Majlis Pelancaran Konsortium Impak Kelestarian Asia (Konsortium) di sini kelmarin.
Konsortium ditubuhkan oleh Kumpulan Star Media Group (SMG), Kumpulan Kompas Gramedia (KG Media) dari Indonesia dan Kumpulan Syarikat Inquirer (IGC) dari Filipina.
Media sebelum ini melaporkan, Malaysia berada di kedudukan ke-34 daripada 67 negara dalam Ranking Daya Saing Global (WCR) 2024 dan keempat dalam kalangan negara di ASEAN selepas Singapura, Thailand serta Indonesia.
Malaysia jatuh tujuh anak tangga daripada kedudukan ke-27 yang dicatatkan pada tahun lalu, demikian menurut Laporan WCR yang dikeluarkan IMD itu.
Mengulas lanjut, Anwar berkata, Kerajaan Perpaduan tetap mengambil maklum teguran yang dilaporkan dalam WCR 2024 itu.
“Jemaah Menteri semalam melihat dengan cara lebih terbuka dengan melihat apa kekuatan dan apa kelemahan.
“Syukur kerana beberapa teguran itu diambil kira dan insya-Allah semua akan bekerja lebih pantas dan cekap untuk perbaiki,” katanya.
Terdahulu, Anwar dalam ucapannya menggesa, semua pihak berkepentingan sama ada syarikat, masyarakat dan individu untuk mengambil bahagian secara aktif dalam mencapai masa depan yang mampan dan terjamin untuk generasi akan datang.
Katanya, sinergi yang kuat untuk mendorong perubahan lebih bermakna mampu dicipta jika ia dilakukan secara bersama.
“Kita mesti sedar mencapai sifar bersih memerlukan usaha kolaboratif yang melibatkan semua – kerajaan, sektor swasta dan rakyat.
“Oleh itu, saya percaya pembentukan Konsortium Impak Kelestarian Asia adalah tepat pada masanya di mana ia boleh memanfaatkan kehebatan tiga kumpulan media untuk memudahkan tindakan kerjasama antara pihak berkepentingan, syarikat dan orang ramai.
“Kita harus ingat amalan ESG melampaui pematuhan peraturan semata-mata; ia memerlukan anjakan minda untuk menerima prinsip penjagaan alam sekitar, tanggungjawab sosial dan kecemerlangan tadbir urus,” katanya.































