Skuad England yang mencatat keputusan seri menentang Denmark kelmarin berlatih di Blankenhain, Jerman, semalam.
FRANKFURT: Pengendali England, Gareth Southgate percaya skuad kendaliannya mampu beraksi pada tahap lebih baik berbanding dua perlawanan yang dilalui dalam kempen Kumpulan C Euro 2024.
Menurut Utusan Malaysia, selepas menang tipis 1-0 ke atas Serbia pada aksi pembukaan hasil jaringan Jude Bellingham, England semalam diikat oleh Denmark 1-1 di Frankfurt Arena, sekali gus menunjukkan mereka bermula perlahan di Euro sekali gus menangguhkan langkah ke saingan kalah mati.
Jaringan babak pertama Harry Kane meletakkan naib juara Euro 2020 itu di depan pada minit ke-18, tetapi Denmark bangkit menyamakan kedudukan menerusi Morten Hjulmand pada minit ke-34.
“Jelas kami kecewa dengan persembahan pada dua perlawanan pertama, jadi kami perlu menganalisis secara terperinci dan mencari penyelesaian untuk masalah yang kami hadapi.
“Kami tahu tahap permainan kami boleh meningkat lebih tinggi. Ia adalah tanggungjawab saya. Saya sebagai pengendali perlu membimbing pasukan ini dengan cara terbaik untuk mencapai sesuatu yang luar biasa,” kata Southgate.
Sementara itu, Kane percaya pasukannya akan mula menemui rentak sebenar menjelang aksi terakhir kumpulan menentang Slovenia.
“Saya rasa kami sudah katakan sebelum kejohanan yang tidak akan ada perlawanan mudah, dan saya rasa ia terbukti. Kami mampu meningkat ke tahap lebih tinggi dan beraksi lebih baik sama ada ketika menguasai bola atau tidak.
“Sebuah pasukan yang baik, walaupun tidak beraksi pada prestasi terbaik mereka, masih mampu mendapatkan keputusan seperti yang kami perolehi pada dua perlawanan pertama,” kata Kane.
England belum pernah memenangi dua perlawanan awal Kejuaraan Eropah dan turut mengumpul empat mata selepas dua aksi pertama di Euro 2020 yang menyaksikan mereka mara hingga ke final sebelum tewas kepada Itali menerusi penentuan penalti.
England masih mendahului Kumpulan C dengan empat mata dan akan bertemu Slovenia pada awal pagi Rabu ini untuk perlawanan terakhir kumpulan, manakala Denmark menentang Serbia.






























