KUALA LUMPUR: Tindakan kerajaan memperhalusi pindaan terhadap Akta Kanun Tatacara Jenayah dan Kanun Keseksaan berkait jenayah siber dilihat dapat memperkukuhkan lagi undang-undang sedia ada terutamanya dalam mengambil tindakan terhadap ‘keldai akaun’.
Menurut Utusan Malaysia, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, terdapat beberapa seksyen akan terlibat dalam penambahbaikan ini.
Kata beliau, perjumpaan telah dibuat oleh JSJK dengan Menteri Dalam Negeri (MDN) untuk menerangkan mengenai cadangan baharu itu
“Secara peribadinya, MDN telah ambil maklum dan mungkin akan bentangkan di Parlimen mengenai penambahbaikan dalam Kanun Keseksaan dan Kanun Tatacara Jenayah ini,” katanya dalam sidang akhbar di Menara KPJ di sini kelmarin.
Ramli berkata, penambahbaikan itu akan melibatkan undang-undang ke atas keldai akaun.
“Buat masa ini undang-undang yang ada tidak mencukupi kerana kebanyakan pertuduhan dibuat di bawah Akta Kesalahan Kecil 1955,” jelasnya.
Terdahulu, kerajaan memaklumkan akan memperhalusi pindaan terhadap Kanun Tatacara Jenayah dan Kanun Keseksaan bagi menangani kes jenayah siber yang semakin meningkat, seiring perkembangan teknologi dan kompleksiti jenayah berkenaan.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, ia hasil perbincangan bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang mencadangkan pindaan dilakukan terhadap undang-undang itu.
Kata Saifuddin, kerajaan juga akan mempertimbangkan cadangan menambah keanggotaan di JSJK bagi memperkasa pasukan berkenaan.































