Lee Zii Jia
PETALING JAYA: Pemain perseorangan utama negara, Lee Zii Jia menempah laluan ke separuh akhir selepas menyingkirkan Kenta Nishimoto dari Jepun pada suku akhir Kejohanan Badminton Terbuka Australia di Sydney, Australia, kelmarin.
Menurut Utusan Malaysia, anak jati Kedah yang menghuni ranking No. 8 dunia itu dipaksa bermain selama lebih sejam sebelum beroleh kemenangan ke atas pemain ke-11 dunia tersebut 16-21, 21-12, 21-12.
Zii Jia bakal menghitung pertemuan dengan pemain ke-37 dunia, Lee Chia Hao dari Taiwan pada separuh akhir, hari ini.
Beregu lelaki Malaysia yang berada di tangga ke-26 dunia, Choong Hon Jian-Muhammad Haikal Nazri pula menewaskan Rizky Hidayat-Frengky Wijaya Putra dari Australia 21-16, 18-21, 21-12.
Pada separuh akhir, Hon Jian-Haikal berdepan laluan getir menentang beregu No. 8 dunia, He Ji Ting-Ren Xiang Yu dari China.
Turut mara ke peringkat empat terbaik, beregu campuran negara, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing yang mengetepikan rakan senegara, Hon Jian-Go Pei Kee 21-15, 23-21 dalam masa 40 minit.
Hari ini, peluang pasangan No. 21 dunia itu membalas dendam di atas kekalahan mereka kepada beregu No. 5 dunia, Jiang Zhen Bang-Wei Ya Xin dari China di peringkat sama pada Terbuka Indonesia, minggu lalu.
Satu lagi wakil Malaysia turut maju ke peringkat seterusnya adalah beregu wanita, Pei Jing-Lim Chiew Sien yang mengalahkan Polina Buhrova-Yavhenilia Kantemyr dari Ukraine 21-17, 21-19.
Pasangan Hong Kong, Yeung Nga Ting-Yeung Pui Lim menanti beregu negara itu di separuh akhir, sementara dua lagi beregu lelaki, Arif Junaidi-Yap Roy King dan Kang Khai Xing-Aaron Tai gagal meneruskan kemaraan.
































