Anwar Ibrahim
PETALING JAYA: Kerajaan sedang memberi fokus kepada meningkatkan jaringan, infrastruktur dan mutu perkhidmatan pengangkutan awam, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Perdana Menteri berkata, justeru Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) pada hari ini telah meneliti kertas ‘Pemerkasaan Industri Kereta Api’ yang merangkumi perbincangan terarah kepada kepentingan pelaksanaan segera rasionalisasi industri kereta api negara berdasarkan objektif Akta Keretapi 1991 (Akta 463).
Katanya, mesyuarat turut memperincikan langkah-langkah dalam memastikan perkhidmatan KTM Komuter, tren laju antara bandar (ETS) dan Ekspres Timuran oleh KTM Berhad dapat memenuhi keperluan kekerapan dan jumlah penumpang semasa serta jangkaan masa hadapan.
“Intiha saya tekankan kepentingan bagi isu-isu dasar dan pelaksanaan bagi keputusan-keputusan ini diselesaikan segera sementelahan penting bagi objektif serta kesan ekonomi dan sosial yang dihasratkan Kerajaan dapat dirasai rakyat mengikut jadual dan kesaling hubungan di bawah kerangka Malaysia Madani dan Ekonomi Madani,” katanya dalam kenyataan selepas mempengerusikan MTEN Bilangan 4 Tahun 2024 di Putrajaya hari ini.
Mesyuarat itu antara dibincangkan terkait perkembangan semasa susulan pelaksanaan penyasaran subsidi diesel di Semenanjung Malaysia yang bermula hari ini.
Menurut Anwar, mesyuarat dimaklumkan, terdapat peningkatan mendadak dalam jumlah permohonan bantuan tunai Budi Individu dan Budi Agri-Komoditi yang dilaksanakan melalui https://budimadani.gov.my.
“Kumpulan pertama individu layak akan menerima RM200 yang akan didepositkan ke dalam akaun bank mereka pada 10 Jun (hari ini),” katanya.


































