Keadaan bas persiaran yang terlibat kemalangan berhampiran simpang tiga Bahau, Jalan Kuantan-Segamat di Rompin, Pahang.
ROMPIN: Seorang pembantu operasi di Sekolah Kebangsaan (SK) Jeram, Masjid Tanah, Melaka menjadi mangsa ketiga meninggal dunia dalam kemalangan sebuah bas persiaran dan treler di berhampiran simpang tiga Bahau, Jalan Kuantan-Segamat di sini, awal pagi tadi.
Mangsa, Hamzah Ahmad, 60, meninggal dunia ketika dirawat di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di Kuantan, dekat sini.
Menurut Utusan Malaysia, perkara terbabit disahkan Ketua Polis Daerah Rompin, Deputi Superintentan Nor Azman Yusof pada kira-kira pukul 10.20 pagi tadi.
Sementara itu, keluarga kedua-dua mangsa yang meninggal dunia, Hasnatul Adilah Hassan, 48, dan pemandu kedua bas persiaran, Hadi Ashraf Mad Idris, 29, sudah pun tiba di pekarangan Unit Forensik Hospital Muadzam Shah, Rompin sejak kira-kira pukul 9.30 pagi tadi.
Dalam kejadian tersebut, dua maut manakala 37 lagi cedera selepas bas ekspres membawa rombongan guru bertembung treler dalam nahas di Jalan Kuantan-Segamat berhampiran simpang tiga Bahau, awal pagi tadi.
Nor Azman berkata, kejadian sekitar 1.30 pagi mengakibatkan bas membawa 39 penumpang termasuk dua pemandu terbalik di cerun jalan.
Katanya, bas itu dalam perjalanan membawa guru dari Sekolah Kebangsaan Jeram, Masjid Tanah, Melaka bersama anak mereka ke Terengganu untuk menghadiri program penanda aras.
Menurutnya, seorang guru maut di lokasi kejadian manakala pemandu kedua meninggal dunia dalam perjalanan mendapatkan rawatan di hospital.
“Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila keadaan gelap di simpang tiga Bahau dan pemandu bas itu hilang kawalan dan melanggar sebuah treler membawa muatan gelung besi sebelum terbalik di cerun jalan,” katanya.
Nor Azman berkata, mereka yang cedera dibawa ke Hospital Muadzam Shah, Rompin dan Hospital Tengku Ampuan Afzan, Kuantan untuk rawatan.
Polis meminta saksi kejadian tampil membantu siasatan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
































