JOHOR BAHRU: Seorang pengarah urusan sebuah syarikat swasta di sini kerugian RM520,000 apabila ditipu ‘Inspektor Lee Kha Seng’ yang kononnya bertugas sebuah negeri utara tanah air.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Polis Johor, Komisioner M. Kumar berkata, pihaknya menerima laporan tentang kejadian itu daripada mangsa, seorang lelaki tempatan berusia 46 tahun, semalam yang memberitahu telah ditipu awal bulan lalu.
“Mangsa menerima panggilan seorang lelaki yang memberitahu kad ATM mangsa telah ditemukan dalam satu serbuan polis di sebuah premis yang menjalankan aktiviti penggubahan wang haram.
“Mangsa kemudian diperkenalkan dengan seorang lelaki lain yang mendakwa sebagai pegawai polis bernama ‘Inspektor Lee Kha Seng’ yang telah menawarkan bantuan bagi mengelak wang mangsa disita. Caranya adalah dengan memindahkan wang mangsa ke dalam sebuah akaun bank yang diarahkan sementara polis menjalankan siasatan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Bimbang kehilangan wangnya, nangsa menurut arahan itu selepas menerima surat menerusi aplikasi WhatsApp dengan kepala surat mahkamah yang menyatakan tindakan akan diambil terhadap mangsa seperti pembekuan aset dan ditangkap.
“Mangsa memindahkan wang sebanyak RM520,000, sebelum terus didesak untuk membuat lagi pembayaran menyebabkannya mula berasa curiga dengan tindakan ‘Inspektor Lee Kha Seng’ tersebut. Justeru, mangsa terus membuat laporan polis semalam,” katanya sambil memaklumkan kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
Kumar menyeru orang ramai agar lebih cakna dengan pelbagai trend penipuan bagi mengelakkan daripada menjadi mangsa sindiket, termasuk menggunakan perkhidmatan ‘Semak Mule’ secara dalam talian untuk menyemak status akaun bank dan nombor telefon seseorang sebelum membuat sebarang transaksi pembayaran.
“Maklumat berkaitan modus operandi pula boleh diperoleh menerusi pelbagai platform media rasmi Polis Johor seperti Facebook, Instagram dan TikTok,” katanya.


































