Anwar dan Hajiji bersama-sama “mongomot (menuai padi)” pada majlis perasmian penutupan Pesta Kaamatan Peringkat Negeri Sabah 2024 di Dewan Hongkod Koisaan, KDCA, Penampang baru-baru ini.- JaPen Sabah
KOTA KINABALU: Kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa Pakatan Harapan (PH) akan tetap setia bekerjasama dengan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN17) membuktikan kepercayaan tinggi terhadap kepimpinan Ketua Menteri Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor.
“Kenyataan Perdana Menteri tersebut bukan sahaja menghargai kepimpinan Hajiji, tetapi ia juga akan menjamin kestabilan politik dan kemakmuran Sabah. Kerajaan di bawah pimpinan Hajiji dijangka terus bertambah kukuh dan momentum tersebut akan kekal menjangkaui PRN17,” kata Timbalan Ketua Bahagian Gagasan Rakyat Tanjung Batu, Tawau Datuk Hj Abdul Muis Picho.
Menurutnya, keyakinan Anwar terhadap kepimpinan Hajiji yang juga pengerusi GRS dan presiden Gagasan Rakyat sudah tentu memberi kebaikan kepada rakyat Sabah kerana peruntukan Kerajaan Persekutuan akan lebih mudah dan cepat.

Hj Abdul Muis Picho
“Kita telah melihat rekod cemerlang Hajiji dalam tempoh dua tahun memerintah Sabah, rekod pelaburan tahun lalu sahaja mencecah RM11.34 bilion sementara pungutan hasil kepada kerajaan RM6.934 bilion. Masalah infrastruktur seperti air, letrik dan jalanraya yang ditinggalkan oleh pemerintahan lalu sedang diselesaikan satu persatu,” katanya dalam satu kenyataan di sini.
Sementara itu, Abdul Muis turut menafikan segala tuduhan palsu dan fitnah yang dibuat oleh pembangkang terutama presiden Parti Warisan Datuk Seri Shafie Apdal di Pulau Sebatik pada 1 Jun lalu bahawa kononnya kerajaan pimpinan Hajiji sekarang ini lemah.
“Shafie seolah-olah kehabisan modal politik lantas membuat serangan peribadi dan cuba memperkecil-kecilkan kepimpinan Hajiji. Saya memberi amaran kepada semua pembangkang termasuk Shafie agar berhenti berbuat demikian untuk mengelak rakyat Sabah menghukum parti mereka pada PRN akan datang.
“Rakyat sudah bosan dengan fitnah dan tuduhan-tuduhan tidak berasas pembangkang,” katanya.


































