Dr Joachim (tengah) bergambar bersama Ahli Majlis Tertinggi parti
PENAMPANG: Datuk Seri Dr. Maximus Ongkili secara rasmi menyerahkan tugas jawatan Presiden kepada Timbalannya Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam pada Mesyuarat Majlis Tertinggi Parti Bersatu Sabah (PBS) di ibu pejabatnya di sini, hari ini.
Dr. Maximus, yang mengetuai PBS sejak enam tahun lalu, menjadikan Dr. Joachim sebagai pemangku Presiden berkuat kuasa serta-merta.
Dalam perutusan yang dibacakan oleh Setiausaha Agung parti Datuk Julita Majungki, Dr. Maximus menyifatkan hari ini dipenuhi dengan perasaan bercampur baur namun berkata bahawa pemindahan tugas adalah perlu untuk kebaikan parti.

Joachim (tengah) menerima watikah pelantikan daripada Julita.
“Hari ini sudah tiba masanya perubahan yang saya yakin akan membawa pembaharuan iaitu penyerahan atau pemindahan tugas dan tanggungjawab sebagai Presiden kepada pemangku lantikan yang dipilih oleh saya, mengikut peruntukan Perkara 15 (iii) (a) Perlembagaan PBS, iaitu Timbalan Presiden kita, Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam.
“Kita harus sedar bahawa bukan mudah bagi seseorang pemimpin untuk melepaskan jawatan, tugas dan peranannya kepada pengganti di kalangan barisan pemimpin. Tidak dinafikan banyak persoalan akan timbul, dan banyak cabaran yang bakal dihadapi oleh sesiapa sahaja yang memegang atau bertindak sebagai Presiden mana-mana parti atau pertubuhan terutamanya parti yang begitu bersejarah dan bermakna kepada rakyat Sabah yang tercinta,” katanya.
Dr. Maximus bagaimanapun berkata, dengan keadaan kesihatannya sekarang yang memerlukan lebih perhatian dan fokus kepada proses pemulihannya, beliau yakin pelantikan Dr. Joachim adalah keputusan yang baik untuk PBS ketika ini.
“Saya berharap dengan pelantikan ini, kepimpinan parti kita terus bersatu untuk meneruskan perjuangan yang belum selesai untuk rakyat dan Sabah,” katanya.

































