PETALING JAYA: Pemain perseorangan lelaki negara, Leong Jun Hao mencatat sejarah dalam kariernya apabila buat kali pertama menjejakkan kaki ke suku akhir pada kejohanan berstatus Super 750 di Terbuka Singapura, kelmarin
Menurut Utusan Malaysia, anak jati Kuala Lumpur yang menghuni ranking ke-36 dunia itu mencipta kejutan ke atas bintang No. 7 dunia, Anthony Sinisuka Ginting 21-14, 10-21, 21-8 dalam masa 59 minit.
Tidak pernah menewaskan Ginting dengan rekod pertemuan berpihak kepada pemain handalan Indonesia itu 2-0, Jun Hao berkata, bukan mudah untuk dia berdepan lawan sehebat itu.
“Saya pernah tewas dua kali kepada Ginting dan hari ini, saya berjaya mengalahkan pemain handalan dunia itu, ia satu kepuasan kepada diri saya,” katanya kepada Spotv.
Jun Hao yang berharap akan dapat mengekalkan prestasi lebih konsisten bakal berdepan laluan lebih sukar apabila dijadual menentang bintang No. 1 dunia, Viktor Axelsen dari Denmark, hari ini.
“Axelsen, pemain No. 1 dunia, ia satu perlawanan yang sukar, saya akan berbincang dengan jurulatih nanti,” ujarnya.
Turut mara ke suku akhir, beregu No. 5 dunia, Aaron Chia-Soh Wooi Yik yang menyingkirkan gandingan No. 9 dunia, Lee Yang-Wang Chi-Lin dari Taiwan 21-18, 21-23, 21-17
Aaron-Wooi Yik bakal turun beraksi menentang pasangan No. 4 dunia, Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen di suku akhir selepas beregu Denmark itu menumpaskan gandingan Malaysia, Man Wei Chong-Tee Kai Wun 21-10, 20-22, 21-19.
Beregu campuran negara, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing gagal meneruskan kemaraan selepas tunduk kepada Robin Tabeling-Selena Piek dari Belanda 18-21, 21-18, 10-21.


































