JASIN: Gara-gara terlanggar serpihan tayar lori atas jalan, seorang lelaki maut manakala empat yang lain cedera dalam kemalangan membabitkan lima motosikal di Kilometer 190.7 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah selatan di sini, kira-kira pukul 2 pagi kelmarin.
Mangsa, Mohd. Afirzul Hamzah, 35, yang menunggang motosikal Yamaha RXZ meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah pada bahagian kepala.
Empat yang cedera ialah Zakrul Ariffin Minhat, 20; Muhammad Zarif Zufayri Mazli, 23; Muhammad Nur Aiman Kamil, 23, dan Ahmad Farhan Fikri Abd. Khalid, 28.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Superintenden Ahmad Jamil Radzi berkata, mangsa yang bekerja sebagai pemandu lori berasal dari Jementah, Johor sedang dalam perjalanan ke Johor selepas menjamu selera di Simpang Ampat, Alor Gajah.
“Hasil siasatan awal mendapati kelima-lima penunggang bergerak dalam satu konvoi dan berada di laluan sama. Setibanya di lokasi salah seorang mangsa yang menunggang motosisal jenis Yamaha Y15 dipercayai telah melanggar objek di atas jalan lalu hilang kawalan dan menyebabkan empat yang lain turut terjatuh.
“Seorang penunggang meninggal dunia di tempat kejadian manakala semua mangsa yang cedera dibawa ke Hospital Jasin bagi mendapatkan rawatan,” katanya.
Tambah Ahmad Jamil, Zakrul Ariffin yang juga seorang pelajar ditempatkan di Zon Merah manakala tiga yang lain mengalami patah bahu kanan, luka tangan dan kaki serta cedera pada kepala.
“Siasatan di lokasi kejadian mendapati jalan lurus dan rata, cuaca baik dan jalan gelap kerana tiada lampu jalan. Kes disiasat di bawah Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987,” ujarnya.


































