MELAKA: Tiga rakan didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan merompak secara berkumpulan menggunakan pistol tiruan membabitkan kerugian berjumlah RM1,150, awal bulan ini.
Menurut Utusan Malaysia, tertuduh, Mohamad Firdaus Md. Nor, 33; Abd. Hayat Firdaus Abd. Malek, 38, dan Mohd. Khairi Mohd. Noor, 36, mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Elesabet Paya Wan.
Berdasarkan kertas pertuduhan, kesemua tertuduh secara bersama dengan niat telah melakukan rompakan berkumpulan bersenjatakan sepucuk pistol tiruan di sebuah kedai menjual beg di Taman Seri Telok Mas dalam daerah Melaka Tengah dan melarikan wang tunai RM400 kira-kira pukul 12 tengah hari pada 7 Mei 2024.
Mohamad Firdaus dan Mohd. Khairi turut didakwa secara bersama melakukan rompakan berkumpulan menggunakan pistol tiruan di sebuah kedai gajet di Taman Perindustrian Krubong Melaka dalam daerah Melaka Tengah dan melarikan wang tunai RM200 kira-kira pukul 12.50 tengah hari, 6 Mei 2024.
Sementara itu, Abd. Hayat Firdaus dan Mohd. Khairi didakwa merompak menggunakan pistol tiruan di sebuah kedai serbaneka di Taman Tambak Paya Harmoni dalam daerah Melaka Tengah dan melarikan wang tunai RM550 kira-kira pukul 7.21 malam pada 6 Mei 2024.
Semua kesalahan itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 397 kanun sama yang boleh dihukum di bawah seksyen dan kanun yang sama, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur Syawanie Marizan manakala hanya Mohd. Khairi diwakili peguam.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM15,000 seorang bagi setiap pertuduhan dan menetapkan 9 Julai ini untuk sebutan semula kes.
Dalam pada itu di Mahkamah Majistret, Mohamad Firdaus Md. Nor mengaku tidak bersalah di hadapan Majistret Sharda Shienha Mohd. Suleiman atas pertuduhan memiliki sepucuk pistol tiruan.
Sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjara tidak melebihi satu tahun atau denda maksimum RM5,000 atau kedua-duanya sekali mengikut Seksyen 36 (1) Akta Senjata 1960.
Bagi kesalahan itu, mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM1,500 dan menetapkan tarikh sama untuk sebutan semula kes.


































