Diharap Persidangan Pembangunan Orang Asal Borneo dapat mengangkat hak bumiputera Sabah dan Sarawak serta Orang Asal menuju hidup gemilang tanpa tersisih. – FB Universiti Malaysia Sabah (UMS).
Persidangan Pembangunan Orang Asal Borneo berlangsung di Universiti Malaysia Sabah (UMS) pada 23 dan 24 Mei lalu.
Matlamat utama persidangan adalah memupuk kerjasama bagi mencari jalan dan formula bagaimana pembangunan orang Asal Borneo dapat ditingkatkan dan diperbaiki bagi mencapai kehidupan yang lebih baik.
Orang asal Borneo, khususnya Sabah tidak terpinggir dan tersisih daripada arus pembangunan. Jangan dibiarkan mereka tersisih dan tidak berada dalam arus pembangunan nasional dan antarabangsa.
Persidangan ini dianjurkan Institut Kajian Orang Asal Borneo (BorIIS). Agensi Penyelidikan dan Inovasi Kebangsaan (BRIN), Lembaga Kebudayaan Negeri Sabah (LKS), Kolej Universiti Yayasan Sabah (UCFS) dan badan-badan pertubuhan Orang Asal Sabah turut memberikan sokongan dalam persidangan ini.
Pengarah BorIIS, Profesor Madya Normah Abdul Latip menegaskan peri pentingnya persidangan ini dan memerlukan kerjasama banyak pihak dalam memajukan Pembangunan Orang Asal Borneo. Kerjasama pelbagai pihak dan peringkat amat penting dalam pembangunan Orang Asal dalam menghadapi cabaran-cabaran semasa. Satu aspek penting bagi menjamin kemajuan Orang Asal adalah pencapaian dalam pendidikan tinggi.
Peluang yang seluas-luasnya perlu dibuka dan diberikan kepada orang Asal Borneo, khususnya generasi muda Orang Asal Borneo. Tanpa pencapaian pendidikan tinggi kemajuan Orang Asal akan terbantut. Peluang dan sokongan yang seluas-luasnya perlu dibuka dan dipastikan berjaya bagi kemajuan dan Pembangunan Orang Asal, khususnya generasi muda.
Satu persoalan yang penting adalah faktor kewangan yang perlu ditanggung generasi muda Orang Asal. Persoalan bantuan kewangan dan kemudahan pendidikan adalah perkara penting yang perlu dilihat oleh pihak berkuasa berkaitan.
PERKARA 153
Peruntukan Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan perlu diteliti dan disemak demi kepentingan pendidikan tinggi Orang Asal. Perkara 153 memperuntukkan hak istimewa orang-orang Melayu di Persekutuan Tanah Melayu dan hak-hak istimewa kaum bumiputera Sabah dan Sarawak.
Bumiputera Sabah dan Sarawak adalah Orang Asal Borneo Sabah dan Sarawak. Dalam Perkara 153 dinyatakan beberapa aspek istimewa bumiputera Sabah dan Sarawak. Antaranya ialah biasiswa dan dermasiswa kepada pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) ke atas, kemudahan awam pelajaran, peluang dalam perjawatan awam dan peluang ekonomi, perdagangan dan pertukangan. Ini semua adalah penting bagi menjamin kemajuan dan pembangunan masa depan Orang Asal Borneo serta bumiputera Sabah dan Sarawak.
Adakah Orang Asal ini mendapat jaminan kewangan yang diperuntukkan dalam Perkara 153 apabila memasuki institut pengajian tinggi setelah menamatkan SPM? Adakah mereka mendapat biasiswa seperti yang diperuntukkan? Adakah Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) itu selaras dengan peruntukan Perkara 153?
Sebahagian besar Orang Asal yang memasuki institusi pengajian tinggi tidak mendapat biasiswa seperti yang diperuntukkan dalam Perkara 153. Sebahagian besar daripada mereka mendapat PTPTN terpaksa membayar balik apabila tamat pengajian nanti. Ini sebenarnya tidak selaras (bercanggah) dengan peruntukan Perkara 153. Mungkin bagi kaum bukan bumiputera, bantuan kewangan melalui PTPTN adalah wajar, tetapi tidak bagi kaum bumiputera Sabah dan Sarawak serta Orang Asal.
Mereka yang mendapat bantuan kewangan PTPTN ini terpaksa membayar balik pinjaman PTPTN setelah tamat pengajian (kecuali mereka mendapat ijazah kelas pertama). Bilangan yang mendapat ijazah kelas pertama adalah sangat kecil bilangannya. Bilangan kelas pertama adalah tidak mungkin besar jumlahnya kerana falsafah pengajian tinggi tidak memungkinkannya berlaku.
Adakah pembayaran balik PTPTN ini tidak menimbulkan masalah kepada graduan Orang Asal? Adakah perancangan kehidupan setelah menamatkan pengajian tidak terganggu dengan tanggungan pembayaran balik PTPTN ini? Pembayaran balik PTPTN adalah satu tanggungan yang bukan ringan bagi graduan yang baharu menamatkan pengajian dan sebahagian besar juga belum mendapat pekerjaan tetap yang sewajarnya.
Bagaimana kehidupan baharu yang sempurna dapat dimulakan oleh Orang Asal? Baharu saja tamat belajar, belum lagi mendapat pekerjaan tetapi sudah mempunyai tanggungan hutang berpuluh ribu. Kepala dan pemikiran menjadi kacau dengan bebanan kewangan dan belum mendapat pekerjaan tetap yang terjamin. Bagaimana menyara kehidupan, membiayai kos kehidupan, bayaran kereta, sewa rumah dan sebagainya?
Saya melihat Perkara 153 sebagai satu falsafah besar pemimpin silam, pejuang bangsa terhadap jaminan kehidupan orang-orang Melayu dan bumiputera Sabah dan Sarawak. Ia bukan persoalan kecil yang boleh dikesampingkan ke tepi dan dianggap tidak penting.
Pemimpin negara yang mengatakan mereka pejuang bangsa dan negara perlu menyemak semula tentang pelaksanaan Perkara 153. Kenapa ia termaktub dalam Perlembagaan negara dan tidak dapat dipinda dengan mudah? Perkara 153 ini tidak boleh dipinda dengan mudah melalui dua pertiga sokongan ahli Dewan Rakyat kecuali mesti dirujuk dan persetujuan Majlis-Raja-Raja Melayu sebagaimana yang dinyatakan dalam Perkara 38(5) Perlembagaan Persekutuan.
Perkara 153 adalah persoalan besar dan mempunyai kaitan rapat dengan pembangunan menyeluruh bangsa Melayu dan kaum bumiputera Sabah dan Sarawak. Kesedaran dan pemahaman yang mendalam tentang perkara 153 adalah sangat perlu bagi pembangunan dan kestabilan negara. Bukan sahaja bagi pembangunan Orang Asal Borneo serta bumiputera Sabah dan Sarawak, tetapi bagi seluruh negara dan kestabilan kebangsaan.
Teliti dan kajilah dengan mendalam Perkara 153, penuhilah hak yang termaktub kepada bumiputera Sabah dan Sarawak, jangan tersasar daripada perjuangan asal pejuang negara silam bagi pembangunan menyeluruh kestabilan negara bangsa.
Kita menuntut hanya pada yang hak dan termaktub, tidak sesekali melanggar garis hak yang telah akui bersama.
Bangun bersama maju seiring kaum buniputera Sabah dan Sarawak serta Orang Asal menuju hidup gemilang tanpa tersisih. – UTUSAN
Profesor Madya Dr. Mohd. Noor Yazid ialah Felow Penyelidik Kanan, Kluster Pembangunan dan Etnografi, Institut Kajian Orang Asal Borneo (BorIIS), Universiti Malaysia Sabah (UMS), Kota Kinabalu.


































