Pep Guardiola sedia dipersalahkan susulan kekalahan mengejut pasukannya di tangan Manchester United pada final Piala FA Inggeris, Ahad.
LONDON: Pengendali Manchester City, Pep Guardiola sedia dipersalahkan susulan kekalahan mengejut pasukannya di tangan Manchester United pada final Piala FA Inggeris, Ahad.
Menurut Utusan Malaysia, anak-anak buah Guardiola gagal menjadi pasukan pertama memenangi Liga Perdana Inggeris (EPL) dan Piala FA pada musim sama dua tahun berturut-turut selepas menamatkan aksi di Wembley.
City beraksi jauh di bawah tahap sebenar seperti yang mereka pamerkan sepanjang kempen mengagumkan memenangi kejuaraan EPL empat musim berturut-turut, satu pencapaian yang tidak pernah dilakukan mana-mana kelab.
Mereka dikejutkan gol babak pertama menerusi pemain remaja United, Alejandro Garnacho dan Kobbie Mainoo, City hanya mampu membalas satu gol selepas rehat menerusi jaringan lewat Jeremy Doku.
City kelihatan lesu bagi hampir keseluruhan perlawanan, namun Guardiola berkata, perancangan taktikal beliau banyak yang silap berbanding keletihan selepas merangkul kejuaraan.
“Perancangan permainan saya tidak bagus. Kami tidak berada di tempat yang tepat untuk menyerang. Ia keputusan saya. Pemain amat fokus. Secara taktikal, ia tidak bagus. Pemain tahu mengenainya.
“Kami memberikan lawan gol pertama dan gol kedua, kami tidak menghalang. Separuh masa kedua lebih baik kerana kami lebih menekan. Kami ada peluang, malangnya kami hanya menyumbat gol agak terlewat sedikit,” kata Guardiola.
Guardiola mengakui keputusan itu mengecewakan untuk menamatkan satu lagi musim penuh memori buat City.
“Tahniah kepada United. Akhirnya mereka meledak dua gol dan kami tidak boleh menjaringkan gol lagi.
“Ia mengecewakan, tetapi musim ini amat luar biasa.
“Berjuang untuk merebut semua kejuaraan. Kini kami sedih tetapi esok kami meraikan pencapaian luar biasa yang kami lakukan. Kami akan tampil semula musim depan.”


































