Kapten Manchester United, Bruno Fernandes menjulang trofi Piala FA sambil disaksikan rakan sepasukan selepas menewaskan Manchester City 2-1 dalam perlawanan akhir di Stadium Wembley, Ahad.
LONDON: Pengendali Manchester United, Erik Ten Hag tidak takut dipecat pemilik The Red Devils, sebaliknya akan berusaha memenangi lebih banyak trofi jika bersama pasukan lain selepas ini.
Menurut Utusan Malaysia, Ten Hag berdepan aksi final Piala FA Inggeris dengan dihantui laporan pemecatan biarpun akhirnya skuad kendalian pengurus kelahiran Belanda itu meraih kemenangan 2-1 ke atas Manchester City sekali gus menutup musim yang suram dengan kemenangan bermakna.
Kelmarin, pengurus United itu kembali mencetuskan keyakinan untuk kekal mengendali United apabila anak-anak buahnya menyekat hasrat bos City, Pep Guardiola daripada meraih trofi kedua dalam dua tahun mengemudi kelab itu.
Pemilik bersama United, Jim Ratcliffe dan ahli keluarga Glazer yang menjadi pemegang saham majoriti kelab itu, meraikan kemenangan pertama pasukan dalam Piala FA bagi tempoh lapan tahun dari tempat duduk tetamu kenamaan.
Kemenangan kelmarin masih belum diketahui sama ada ia cukup untuk menyelamatkan Ten Hag selepas United berakhir di tangga kelapan Liga Perdana Inggeris (EPL) iaitu kedudukan terburuk mereka sejak 1990 walaupun secara automatik layak ke saingan Liga Europa.
Bagaimanapun, Ten Hag percaya United masih berada di landasan terbaik di bawah kendaliannya dan beliau sepatutnya diberikan masa dan peluang lebih lama di Old Trafford.
“Apabila saya bermula di sini, saya menyatakan saya berada di sini untuk menang, juga saya mahu membina satu pasukan. Kedua-duanya saya lakukan.
“Jika mereka tidak mahukan saya, saya akan pergi ke mana sahaja dan melakukan apa yang saya buat sepanjang karier saya, memenangi perlawanan dan trofi,” kata Ten Hag.
Ditanya jika beliau mendapat jaminan tugasnya selamat sejak laporan potensi beliau dipecat, Ten Hag berkata, itu merupakan jaminan yang diberikan oleh pemilik kelab kepadanya sebelum ini.
“Setiap kali ia soalan yang sama. Mereka tidak perlu memberitahu saya setiap minggu.
“Saya tidak fikirkan mengenai perkara ini. Saya berada dalam satu projek dan kami benar-benar berada di mana yang kami mahukan. Kami membina satu pasukan untuk masa depan.”
Ketika ini, United dikaitkan dengan bekas bos Chelsea, Mauricio Pochettino, bekas jurulatih Bayern Munich, Thomas Tuchel, pengurus England, Gareth Southgate dan bos Ipswich, Kieran McKenna.


































