SEOUL: Kontroversi membabitkan ketua pegawai eksekutif ADOR, Min Hee-jin, masih belum reda apabila agensi, BELIFT LAB, mengambil tindakan undang-undang terhadap kenyataan plagiat yang dikeluarkan Hee-Jin sebelum ini.
Menurut Utusan Malaysia, BELIFT LAB yang juga merupakan agensi pengurusan kumpulan ILLIT memaklumkan, mereka tidak pernah meniru atau melakukan plagiat terhadap kumpulan NewJeans seperti yang didakwa Hee-Jin.
“Kami menafikan tuduhan plagiat artis kami, ILLIT seperti didakwa Hee-Jin.
“Kami telah menyerahkan semua bukti kepada pihak berkuasa untuk menunjukkan tuduhan tersebut adalah tidak benar sama sekali.
“Kami faham, proses ini akan mengambil masa yang lama, namun kami akan berjuang untuk membuktikan kebenaran melalui proses undang-undang,” tulis mereka dalam satu kenyataan di platform Naver.
Menurut agensi tersebut, tuduhan Hee-Jin itu telah menjejaskan imej kumpulan ILLIT sehingga ahlinya menjadi mangsa buli siber di media sosial.
Justeru ujarnya, saman tersebut difailkan sebagai langkah untuk melindungi artis naungan mereka.
“Kami juga meminta semua pihak menghentikan fitnah, spekulasi, dan penyebaran maklumat palsu yang boleh menjejaskan nama baik artis kami.
“Walaupun masalah yang berlaku ini tiada kaitan dengan ILLIT, artis kami telah menerima banyak komen jahat dan serangan peribadi di media sosial,” tulis mereka lagi.
Terdahulu, Hee-Jin dituduh berkomplot untuk menggugurkan ADOR daripada menjadi anak syarikat kepada HYBE. Dakwaan itu muncul selepas HYBE melakukan audit terhadap ADOR pada April.
Hee-Jin menerusi sidang media menafikan, selain menyifatkan tuduhan tersebut dilakukan pihak berniat jahat.
Min juga mendakwa ILLIT telah meniru segala idea yang dihasilkannya untuk kumpulan NewJeans.




























