Hannah Yeoh
KANGAR: Atlet yang mewakili negara dalam Sukan Olimpik 2024 di Paris pada Julai depan berada pada momentum baik bagi menggalas cabaran kutipan pingat menerusi temasya tersebut.
Menurut Utusan Malaysia, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, bagaimanapun, semua atlet terlibat perlu dipastikan berada dalam keadaan terbaik dan tidak mengalami sebarang kecederaan sebelum bermulanya saingan berkenaan.
Beliau berkata, pihaknya mengharapkan kutipan emas pada Sukan Olimpik 2024 ini memandangkan Malaysia belum pernah meraih kejayaan bagi merebut pingat tersebut.
“Malaysia belum pernah berjaya untuk dapatkan pingat emas dan itu adalah sasaran kita pada kali ini,” katanya selepas Majlis Perasmian Sambutan Hari Belia Negara (HBN) Peringkat Negeri Perlis Tahun 2024 di Dataran Lok 9, Kuala Perlis, di sini, hari ini.
Media sebelum ini melaporkan Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) mensasarkan bagi meraih pingat emas pada temasya Sukan Olimpik 2024 nanti.
Selain PKBM, pemain perseorangan profesional negara, Lee Zii Jia dan beregu lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik turut meletakkan sasaran sama pada temasya tersebut.
Mengulas lanjut, Hannah berkata, pihaknya berkeyakinan atlet terlibat mampu meraih sasaran berkenaan malah kerajaan juga telah memberikan segala bentuk bantuan yang diperlukan bagi tujuan tersebut.
“Saya rasa dalam aspek kemahiran itu atlet-atlet kita sudah ada cumanya sekarang adalah keyakinan mereka sewaktu bertanding nanti,” katanya.
Dalam pada itu, Hannah berkata, Jawatankuasa Road To Gold (RTG) yang ditubuhkan sebelum ini juga adalah merupakan persediaan bagi dua pusingan penganjuran Sukan Olimpik iaitu di Paris pada tahun ini dan Los Angeles pada tahun 2028.
Katanya, jawatankuasa RTG juga telah mula bergerak awal bagi melakukan persediaan dalam menghadapi cabaran Sukan Olimpik 2028 di Los Angeles nanti.
“Untuk Los Angelas nanti, kita sudah gerak dan masukkan fast track atlet untuk skuash kerana sukan itu akan dipertandingkan pada temasya berkenaan nanti. Setakat ini Malaysia memang belum berjaya meraih pingat emas tapi saya mahukan kita mempunyai keyakinan dan berusaha bagi meraih pencapaian tersebut,” katanya.
Tambahnya, terdapat beberapa lagi atlet negara dijangka bakal mengisi slot ke Sukan Olimpik Paris nanti menerusi tiket wild card.
































