KOTA MARUDU: Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Datuk Seri Dr. Jeffrey Kitingan melawat kawasan projek penanaman padi Borneo Grains di Kampung Taiwan, di sini, hari ini.
Beliau berkata, Borneo Grains membawa kepakaran, kemahiran dan teknologi moden seperti dron dan mesin terkini untuk mengusahakan penanaman padi seluas sekitar 1,000 ekar.
“Kita berharap selepas penanaman padi nanti, kita akan sekali lagi akan datang bersama untuk melihat hasil Borneo Grains,” katanya.

Menurutnya, usahasama dengan penduduk kampung itu berdasarkan nisbah 50:50 dalam pembahagian hasil bersih.
Selain itu katanya, masyarakat tani di kawasan itu juga akan diberi latihan penanaman ala Sekinchan.
Jabatan Pertanian berperanan memberikan khidmat nasihat teknikal kepada Borneo Grains dan rakyat yang terlibat, serta akan memberi infodata yang secukupnya supaya program itu dapat berjalan dengan lancar.
Dr. Jeffrey berkata, program itu akan dimulakan dalam masa terdekat kerana pengairan, pelbagai mesin, peralatan tani moden dan tapak penanam telah disediakan untuk pelaksanaan.
Terlebih dahulu, merujuk kepada permohonan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Taiwan, Dr. Jeffrey meluluskan RM50,000 untuk penambahbaikan dewan dan pembelian pelbagai peralatan tani untuk masyarakat tani di Kampung Taiwan.
Turut hadir, isteri kepada Dr. Jeffrey, Datin Seri Cecilia Kitingan; Pembantu Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan yang juga ADUN Tandek, Datuk Hendrus Anding; Pengarah Jabatan Pertanian Sabah, Jifrin Hj. Mohammad; Timbalan Pengarah Jabatan Pertanian Sabah, Jackson R. Jaimi; Pegawai Pertanian Daerah Kota Marudu, Lorik Akau; Pengerusi Sabah Aviation yang juga Naib President STARSABAH, Datuk Kenny Chua; dan Pengarah Yayasan Bumiputera Sabah, Dato’ Seri Dr. Adalbert Kinson.






























