Lawrence Wong mengangkat sumpah di hadapan Ketua Hakim Singapura, Sundaresh Menon dan Presiden Singapura, Tharman Shanmugaratnam di Istana Singapura malam ini. – Utusan/CNA
SINGAPURA: Timbalan Setiausaha Agung Parti Tindakan Rakyat (PAP), Lawrence Wong mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri keempat Singapura malam ini, menandakan peralihan kepemimpinan pertama negara itu dalam tempoh 20 tahun.
Menurut Utusan Malaysia, majlis mengangkat sumpah itu dilakukan di hadapan Ketua Hakim Singapura, Sundaresh Menon dan Presiden Singapura, Tharman Shanmugaratnam di Istana Singapura.
Lawrence, 51, mengambil alih tampuk pemerintahan daripada Lee Hsien Loong, 72, yang akan kekal dalam Kabinet sebagai Menteri Kanan.
Ketika mengumumkan senarai barisan Kabinet pertamanya pada Isnin lalu, Lawrence berusaha untuk mengutamakan kesinambungan dan kestabilan, melantik ahli politik berpengalaman Gan Kim Yong sebagai Timbalan Perdana Menteri.
Seramai sembilan menteri kanan dan lima menteri negara turut sama mengangkat sumpah.
Lawrence akan mengekalkan portfolio Menteri Kewangannya yang ketika itu juga dilakukan oleh Hsien Loong apabila beliau memegang jawatan tertinggi pada 2004.
Ia adalah satu langkah yang menguntungkan dari segi politik, kata seorang penganalisis.
Pada upacara berlangsung, sorakan kedengaran ketika Lawrence secara rasmi mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri di hadapan 400 hadirin.
Beberapa tetamu kenamaan kelihatan mengeluarkan telefon masing-masing untuk merakam peristiwa bersejarah yang turut dimainkan di skrin besar.
Dalam pada itu, pengunjung di luar istana, Joseph Yap, 14, pelajar Menengah 2 dari Sekolah Menengah Kranji berkata, dia bertemu Perdana Menteri Singapura baru beberapa kali semasa acara sekolah.
“Beliau seorang yang sangat rendah hati dan jujur dengan kami pelajar.
“Saya mahu berada di sini untuk mengucapkan tahniah kepadanya, mendoakan yang terbaik untuknya dan berharap dia akan datang ke sekolah kami lebih kerap lagi,” ujarnya.
Seorang penduduk GRC Marsiling-Yew Tee, Jeyaraman Gnanamoorthy, 44 tahun, yang bekerja dalam pembuatan berkata bahawa dia teruja Lawrence menjadi Perdana Menteri.
Hal ini kerana beliau merasakan Lawrence melaksanakan tugasnya dengan baik dalam bekas Menteri Pendidikan dan dalam tugasnya sebagai Ahli Parlimen GRC.


































