Pemain negara cuba mengasak penjaga gol Vietnam dalam aksi pertama Kejohanan Piala Asia Hoki Dalam Dewan yang berlangsung di Thailand National Sport University (TNSU) Kampus Chonburi, Thailand kelmarin. – Ihsan Persekutuan Hoki Asia
PETALING JAYA: Skuad wanita negara membuka tirai saingan Kejohanan Piala Asia Hoki Dalam Dewan kumpulan A dengan bergaya selepas membenam Vietnam 25-0, pagi kelmarin.
Perlawanan yang berlangsung di Universiti Sukan Kebangsaan Thailand menyaksikan Siti Nur Arfah Mohd Nor mencipta kejutan selepas menyumbat enam gol padang diikuti Nur Atira Mohamad Ismail yang menyumbang lima gol untuk negara.
Selain itu, Iren Hussin bersama Putri Nur Batrisyia Nor Nawawi menjaringkan tiga gol manakala Raja Norsharina Raja Shahbuddin, Nor Asfarina Isahyifiqa Isahhidun dan Juliani Mohamad Din dengan dua gol serta Nuraslinda Said serta Fazilla Sylvester Silin turut meledak gol masing-masing.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Jurulatih Skuad Hoki Dalam Dewan Wanita Kebangsaan, Mohd Rodzhanizam Mat Radzi berkata, beliau terkesima akan aksi anak-anak buahnya yang berpesta gol terutamanya dalam kejohanan bertaraf antarabangsa seperti ini.
“Perlawanan pembukaan ini pemain berhasil menunjukkan satu disiplin yang tinggi dan jaringan sebanyak ini yang diperoleh amat penting terutamanya dalam aksi kumpulan.
“Mereka berjaya menggunakan peluang yang ada untuk meraih gol sebanyak itu walaupun timbil kesilapan yang tidak diingin dan mereka mampu mengatasinya dengan lebih cepat,” katanya.
Dalam pada itu, Rodzhanizam menggesa agak anak-anak buahnya agar terus memburu gol untuk meneruskan rentak kemenangan sekali gus meningkatkan keyakinan dalam gelanggang menentang Oman petang kelmarin.
“Kesilapan kami lakukan pada perlawanan pertama pastinya akan diperbaiki pada perlawanan kedua dan kami tidak boleh memberikan sebarang peluang kepada pihak lawan.
“Di atas kertas, kami memiliki kelebihan bertemu Oman yang merupakan pasukan baru. Bagaimanapun kami enggan memandang rendah kepada pasukan lawan dan mahu meneruskan rentak kami,” katanya
Skuad hoki dalam dewan wanita negara meneruskan kempen kejohanan bertemu Oman menerusi kumpulan A yang dijadualkan pada pukul 6.45 petang ini.
Malaysia di kelompok kumpulan A bersama Kazakhstan, Iran, Oman dan juga Vietnam manakala kumpulan B menyaksikan Thailand, Indonesia, Singapura dan Kemboja dijadualkan berentap bersama.































