Pengadil melihat skrin pada perlawanan latihan pengadil VAR pada sesi simulasi VAR Liga Malaysia 2024/2025 di Stadium UiTM Shah Alam, baru-baru ini.- Gambar: Fariz Rusadio
PETALING JAYA: Liga Bolasepak Malaysia (MFL) bersedia untuk membantu Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) sekiranya badan induk itu mahu menggunakan video bantuan pengadil (VAR) bagi aksi Harimau Malaya.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Datuk Stuart Ramalingam berkata, pihaknya tidak mempunyai sebarang halangan sekiranya FAM mahu menggunakan teknologi itu kerana skuad kebangsaan juga menjadi keutamaan MFL.
“FAM hanya perlu meminta kepada MFL untuk menggunakan aset-aset kita sudah beli. Adalah keutamaan kita memberikan penggunaan VAR kepada skuad kebangsaan, jika FAM mahu menggunakannya dalam perlawanan.
“Kita tahu perlawanan juga memerlukan kelulusan daripada AFC (Konfederasi Bolasepak Asia) dan FIFA (Persekutuan Bolasepak Antarabangsa) kegunaan dalam perlawanan.
“MFL sudah bersiap sedia menyokong FAM jikalau VAR perlu dilaksanakan di peringkat perlawanan pasukan kebangsaan,” katanya.
Perkembangan itu menyaksikan FAM berpeluang untuk menggunakan system VAR bagi aksi Harimau Malaya menentang Taiwan bagi aksi terakhir kumpulan D kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027, 11 Jun ini di laman sendiri.
Ketika ini MFL mempunyai empat set VAR untuk digunakan bagi saingan Liga Malaysia (Liga M) musim ini dan Stuart memberitahu sehingga kini belum ada perbincangan bersama FAM mengenai hal tersebut.
“Belum lagi, mungkin beri masa sedikit kepada FAM sebab kelulusan (FIFA memberi kelulusan VAR) baru diterima. Kita perlu lihat sama ada teknologi yang kita gunakan pada musim ini adakah stabil? Adakah dilaksanakan dengan baik?
“Saya rasa itu juga akan mendapat perhatian FAM sebagai badan induk. Jikalau operasi kita sempurna, saya pasti FAM akan adakan perbincangan (meminjam VAR) dengan MFL,” katanya.
































