KOTA KINABALU: Mengambil kira keyakinan rakyat kepada Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan keserasiannya dengan Pakatan Harapan (PH) Sabah dalam mentadbir Sabah, tidak ada sebab untuk GRS menjalinkan kerjasama dengan parti lain yang berpangkalan di Semenanjung Malaysia.
Ketua Penerangan GRS, Datuk Joniston Bangkuai berkata, oleh itu, GRS akan menumpukan usaha merealisasikan agenda Sabah Maju Jaya dalam membangunkan negeri dan menyatupadukan rakyat di samping terus memperkukuhkan lagi kerjasama sedia ada dengan PH Sabah.
“GRS amat selesa dengan PH Sabah dan rakan-rakan yang lain.
“PH Sabah memilih untuk menyokong pengerusi GRS Datuk Seri Hajiji Noor sebagai Ketua Menteri Sabah apabila segelintir ADUN UMNO Sabah berkomplot dengan Parti Warisan (WARISAN) untuk menumbangkan kerajaan pimpinannya pada awal tahun 2022.
“Keputusan PH Sabah menyokong Hajiji sebagai Ketua Menteri didorong oleh kebimbangan momentum membangunkan Sabah akan terganggu oleh keadaan politik yang tidak stabil akibat tindakan pihak tertentu yang mahu menggulingkan kerajaan yang sudah terbentuk,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Joniston Bangkuai
Joniston berkata, GRS melihat hasrat Parti Bersatu dan Parti Pejuang untuk berkerjasama dengannya sebagai tanda keyakinan kedua-dua parti itu terhadap keikhlasan dan kesungguhan gabungan parti tempatan itu sebagai peneraju Kerajaan Sabah.
“Sebagai gabungan parti tempatan, GRS akan sentiasa berpandu kepada pandangan dan sentimen rakyat Sabah dalam membuat sebarang keputusan.
“GRS amat menghargai sambutan positif serta perasaan selesa majoriti rakyat Sabah terhadap Kerajaan GRS-PH Plus,” tambahnya.
Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin dilaporkan sebagai berkata partinya akan meneliti sama ada akan berkerjasama dengan GRS dalam Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17) yang bakal diadakan tahun hadapan.
Sementara itu, Presiden Parti Pejuang, Datuk Seri Mukhriz Mahathir pula dilaporkan sebagai berkata partinya berhasrat menjalinkan kerjasama dengan GRS menghadapi PRN kelak.