Hannah Yeoh meninjau pelaksanaan Program Pencarian Bakat Akuatik Terjun di Kolam Renang Kompleks Sukan Negeri, Kangar, Perlis kelmarin.
KANGAR: Setiap negeri perlu memberi keutamaan khususnya dalam aspek peruntukan sama rata buat acara sukan membabitkan wanita bagi mengelakkan berlakunya pembaziran bakat-bakat atlet berpotensi.
Menurut Utusan Malaysia, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, keutamaan itu perlu diberikan bagi memastikan situasi seperti sebelum ini tidak berulang di mana acara terjun 10 meter platform wanita terpaksa digugurkan pada temasya Sukan Malaysia (Sukma) ke-21 di Sarawak Ogos depan.
Katanya, situasi itu bagaimanapun berjaya diselamatkan menerusi pencarian penyertaan bagi mendapatkan enam negeri untuk bersaing dalam kategori tersebut pada temasya berkenaan.
“Saya telah minta semasa mesyuarat Sukma sebelum ini untuk semua Exco negeri memberi kepentingan sama rata pada sukan untuk golongan wanita.
“Ini kerana jika Majlis Sukan Negeri (MSN) masing-masing mengabaikan dan tidak memberi bajet untuk sukan wanita, maka bakat kita akan dibazirkan,” katanya ketika ditemui selepas mengadakan tinjauan pada Program Pencarian Bakat Akuatik Terjun di Kolam Renang Kompleks Sukan Negeri, di sini, kelmarin.
Media sebelum ini melaporkan temasya Sukma ke-21 yang akan berlangsung di Sarawak, Ogos depan menyaksikan dua acara iaitu futsal wanita dan terjun 10 meter platform wanita terpaksa digugurkan atas faktor kekurangan jumlah penyertaan.
Mengulas lanjut, Hannah berkata, seluruh negeri perlu menumpukan kepada pencarian jurulatih dan pelaksanaan program khas bagi acara terjun dalam melahirkan lebih ramai atlet pelapis wanita pada masa hadapan.
“Kalau kita hentikan (pelapis) setakat Datuk Pandelela Rinong dan Nur Dhabitah Sabri sahaja, ia adalah merupakan satu kerugian khususnya di peringkat Sukma. Dan sekiranya kita hentikan kategori itu dalam Sukma nanti maka negara dikhuatiri tidak akan mempunyai pelapis penerjun lagi pada masa hadapan,” katanya.
Dalam pada itu, Hannah berkata, kerajaan negeri dan Exco perlu mencari strategi khususnya dalam melakukan pelaburan bagi acara sukan buat golongan wanita.
Katanya, beliau berharap portfolio belia dan sukan di peringkat negeri masing-masing dapat diberi keutamaan khususnya dalam perancangan perbelanjaan peruntukan bagi pembangunan bakat-bakat baharu.
“Pembangunan bakat itu penting kerana jika orang lihat Malaysia ada ramai belia boleh terlibat dalam acara terjun maka minat itu akan lahir sendiri,” katanya.
































