SEREMBAN: Seorang lelaki berusia 24 tahun ditangkap di Kamunting, Perak Jumaat bagi membantu siasatan kes berbaur ugutan bunuh di media sosial terhadap ibu bapa kepada penyanyi dan pelakon, Naim Daniel.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Polis Daerah Nilai, Superintenden Abdul Malik Hasim berkata, turut dirampas dari suspek adalah sebuah telefon bimbit.
Suspek telah direman selama empat hari mulai kelmarin sehingga 21 Mei untuk siasatan kes ini. Kertas siasatan akan dirujuk kepada timbalan pendakwa raya untuk keputusan dalam masa terdekat,” katanya menerusi kenyataan kelmarin.
Sebelum ini, Abdul Malik memberitahu, suspek yang dipercayai menghantar komen berbaur ugutan bunuh di media sosial terhadap ibu bapa kepada Naim Daniel sedang dikesan pihak polis untuk siasatan.
Naim Daniel atau nama sebenarnya Muhammad Naim Daniel Baharin membuat laporan polis di balai di bawah Ibu Pejabat Daerah (IPD) Kajang pada 14 Mei lalu.
Bagaimanapun ia dipercayai berlaku di kediaman pelakon itu di Lenggeng, jadi disiasat di bawah IPD Nilai.
Bahagian Siasatan Jenayah IPD Nilai telah membuka kertas siasatan dibawah Seksyen 507 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1988.































