Sebahagian PATI yang ditahan dalam serbuan yang dijalankan JIM Negeri Sembilan di beberapa buah premis di Seremban dan Tampin, Jumaat.
SEREMBAN: Dua wanita warga Vietnam yang bekerja sebagai pelayan pelanggan (GRO) cedera di kepala, bahu dan kaki ketika cuba melarikan ketika serbuan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Negeri Sembilan Jumaat.
Menurut Utusan Malaysia, Pengarah JIM Negeri Sembilan, Kennith Tan Ai Kiang berkata, kedua-dua itu terjatuh di jalan raya semasa serbuan di salah sebuah lokasi dari keseluruhan 12 buah premis yang diperiksa semasa operasi Jumaat.
Menurutnya, dalam operasi berkenaan, pihaknya telah memeriksa seramai 71 individu dan 32 orang pendatang asing tanpa izin (PATI) telah ditahan di sekitar kawasan Seremban dan Tampin.
“Operasi disertai seramai 20 orang pegawai JIM Negeri Sembilan dan turut dibantu lima orang pegawai dari Majlis Daerah Tampin (MDT). Kesemua PATI yang ditahan adalah tiga lelaki dewasa dan tiga wanita dewasa warga Indonesia.
“Turut ditahan enam lelaki dewasa warga Bangladesh, seorang wanita warga China, tiga lelaki warga India dan 16 wanita Vietnam. Kesemua yang ditahan berusia di antara 20 hingga 46 tahun,” katanya kepada pemberita, di sini, kelmarin.
Katanya, kesemua yang ditahan di atas pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.





























