Tabiat menghisap vape mendedahkan remaja kepada uranium dan pelbagai logam toksik.
NEW YORK: Kajian terbaharu mendapati remaja yang kerap menghisap vape mendedahkan diri mereka kepada logam berbahaya seperti plumbum dan uranium.
Menurut Utusan Malaysia, Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit Amerika Syarikat (AS) mendedahkan, logam berat seperti nikel, timah dan plumbum ditemui dalam wap e-rokok bersama banyak bahan kimia lain yang berbahaya.
Dalam kajian itu, penyelidik menganalisis data mengenai 200 penghisap vape remaja daripada kajian nasional yang sedang dijalankan dan sampel air kencing mereka diuji untuk kehadiran kadmium, plumbum serta uranium.
Analisis mendapati, paras plumbum dalam air kencing adalah 40 peratus lebih tinggi dalam kalangan penghisap secara berkala (intermitten) dan 30 peratus lebih tinggi dalam kalangan penghisap tegar.
Paras uranium dalam air kencing pula dua kali lebih tinggi dalam kalangan penghisap vape tegar berbanding mereka yang menghisapnya sekali-sekala.
“Pendedahan kepada jenis logam berat ini boleh membahayakan otak remaja yang sedang berkembang, mengakibatkan masalah pemikiran dan gangguan tingkah laku.
“Logam ini juga meningkatkan risiko masalah pernafasan, kanser dan penyakit jantung.
“Penemuan ini memerlukan penyelidikan lanjut, peraturan vape dan campur tangan kesihatan awam yang disasarkan untuk mengurangkan bahaya penggunaan e-rokok, terutamanya dalam kalangan remaja,” kata Dekan Penyelidikan Bersekutu Pusat Perubatan Universiti Nebraska, Dr. Hongying Dai yang mengetuai kajian itu.
Dianggarkan 14 peratus atau sekitar dua juta pelajar sekolah menengah bersama kira-kira 380,000 murid peringkat rendah menggunakan e-rokok pada 2022.
Menerusi kajian yang diterbitkan dalam jurnal Kawalan Tembakau, penyelidik turut menyatakan kebimbangan tentang tahap uranium dalam perisa vape seperti coklat, gula-gula atau pencuci mulut.
“Penghisap vape yang memilih perisa manis mempunyai paras uranium 90 peratus lebih tinggi dalam air kencing mereka berbanding yang memilih perisa mentol atau pudina.
“Produk e-rokok berperisa gula-gula membentuk sebahagian besar penghisap remaja, dan rasa manis dalam vape boleh menyekat kesan keras nikotin, sekali gus meningkatkan potensi ketagihan,” kata penyelidik.




























