Gunung Ibu, timur Indonesia dilaporkan meletus dan abu menjulang sehingga 3.5 kilometer.
JAKARTA: Sebuah gunung berapi di timur Indonesia meletus pada pagi ini, memuntahkan abu lebih dua batu ke langit dan mendorong pihak berkuasa memberi amaran kepada orang ramai supaya menjauhkan diri.
Gunung Ibu yang terletak di pulau Halmahera di wilayah Maluku Utara, meletus pada 12:37 pagi (waktu tempatan) mengeluarkan asap gelap dan abu ke puncak.
Menurut Utusan Malaysia, seorang pegawai di pos pemantauan Gunung Ibu, Axl Roeroe berkata, letusan itu berlangsung lebih tiga minit dan abu menjulang 3.5 kilometer di atas puncak.
“Kepada penduduk dan pelancong berhampiran Gunung Ibu, sila jangan melakukan sebarang aktiviti dalam radius dua kilometer (kawah),” katanya.
Paras amaran untuk gunung berapi setinggi 1,325 meter kekal pada tahap dua pada sistem empat peringkat dan tiada perintah pemindahan selepas letusan.
Tetapi pihak berkuasa menggesa orang ramai memakai topeng muka dan cermin mata ketika melakukan aktiviti luar dan menjangkakan abu gunung berapi yang jatuh ke daratan.
Indonesia, sebuah negara kepulauan yang luas mengalami aktiviti seismik dan gunung berapi yang kerap kerana kedudukannya di Lingkaran Api Pasifik.
Awal bulan ini, Gunung Ruang di Sulawesi Utara meletus, memaksa beribu-ribu orang berpindah.
Lapangan Terbang Antarabangsa Sam Ratulangi di bandar Manado yang terletak lebih 100 kilometer dari kawah, turut ditutup selama beberapa hari.