Anwar Ibrahim
PUTRAJAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu semua penjawat awam mengamalkan kecepatan dalam setiap tugas diamanahkan supaya dasar kerajaan dapat dilaksanakan dengan segera.
Menurut Utusan Malaysia, Perdana Menteri berkata, penjawat awam tidak lagi boleh menggunakan cara lama dan perlu menonjolkan prestasi cemerlang supaya setiap dasar yang diumumkan, dapat berjalan dengan baik.
Beliau berkata, kecepatan pelaksanaaan sesuatu dasar itu amat penting malah, setiap kelulusan projek itu juga adalah satu perkara mendesak.
“Kadang-kadang saya rasa lemas, saya bukan muda lagi, sepatutnya saya lebih perlahan tetapi kadang-kadang saya lebih laju daripada yang umur 40-an, macam mana?
“Jadi apabila ada keputusan jemaah menteri, disampaikan oleh KSN (Ketua Setiausaha Negara), KSU (Ketua Setiausaha), kalau kita guna cara lama, kita tak mungkin boleh berjaya, inilah sebabnya mengapa saya katakan, kepesatan dan kecepatan, kelulusan itu sangat mendesak,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Sesi Townhall Lebaran Aidilfitri Persatuan Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PPTD) bersama Perdana Menteri di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini, kelmarin.
Katanya, jika merasakan keputusan yang diputuskan pada mesyuarat Jemaah Menteri tidak bijak, penjawat awam perlu segera memberikan input.
Bagaimanapun, Anwar berkata, apabila sesuatu keputusan sudah dibuat, ia perlu dilaksanakan dengan segera.
Mengambil contoh di Pulau Pinang sebagai negeri maju dan meraih pelaburan puluhan bilion ringgit selain pendapatannya antara tertinggi dalam kalangan negeri lain, Anwar berkata, negeri itu masih memiliki kira-kira 2,000 miskin tegar.
“Macam di Pulau Pinang, negeri maju, pelaburan puluhan bilion (ringgit), pendapatannya antara tertinggi berbanding negeri lain jauh lebih tinggi,
“Tetapi masih ada sekitar 2,000 miskin tegar, saya kata tidak, saya beritahu Ketua Menteri, mahu ini diselesaikan dalam bulan ini, sebab kita ada upaya,” katanya.
Dalam perkembangan sama, Anwar berkata, kemudahan ditawarkan bagi penjawat awam ke Semenanjung ke Sabah dan Sarawak atau sebaliknya yang diberikan sebelum ini akan dikaji semula.
“Kemudahan tetap diberikan tetapi kita pilih dan nilai berdasarkan prestasi masing- masing. Kalau sudah lembab atau malas, saya tidak fikir kita harus berikan pengiktirafan.
“Mungkin langkah ini tidak popular saya minta Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan agensi berkaitan bincang dan memberi pandangan. Kita dengar dan ubah suai,” katanya.