Anwar Ibrahim
SEPANG: Ahli akademik yang disifatkan sebagai ‘mediocre scholar’ atau diterjemahkan sebagai bertaraf biasa sepatutnya tidak perlu dibawa masuk ke Malaysia sebagai pensyarah pelawat.
Itu penegasan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika disoal mengenai ahli akademik Amerika Syarikat (AS), Bruce Gilley yang menimbulkan kontroversi berhubung kenyataan biadab beliau terhadap Malaysia ketika menyampaikan ceramah di Universiti Malaya, kelmarin.
“Mediocre scholar (ahli akademik biasa-biasa) tidak sepatutnya dibawa masuk sebagai pensyarah pelawat pada awalnya.
“Selebihnya, Menteri Pendidikan Tinggi (Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir) sudah jelaskan,” katanya ringkas kepada pemberita pada Majlis Pelancaran Kampus dan Upacara Pecah Tanah Simulasi Penerbangan MAB Academy di sini hari ini.
Tindakan UM sebelum ini yang menjemput Gilley seorang Profesor Politik dan Hal Ehwal Global di Universiti Portland, Amerika Syarikat menerima kecaman ramai selepas ucapan beliau menuduh ahli politik Malaysia yang menyokong perjuangan Palestin sebagai penyebar kebencian terhadap Yahudi.
Gilley, pernah menimbulkan kontroversi kerana mendukung tindakan kuasa barat menjajah negara lain berkata, ahli politik Malaysia mahukan “Holocaust kedua”, atau pembunuhan ramai-ramai terhadap bangsa Yahudi.
Gilley turut menyerang bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad.
Gilley kemudian membuat hantaran di aplikasi X dengan menjelaskan beliau meninggalkan Malaysia berikutan faktor keselamatan.


























