KUALA LUMPUR : Seorang lelaki melanggar kenderaan sepasang kekasih di kawasan Brickfields di sini selepas berang dengan perbuatan mereka yang membuat bising dan bertengkar di dalam rumah.
Dalam kejadian berlaku pukul 2.15 petang semalam, pengadu dan teman wanitanya telah bertengkar di dalam rumah dan menyebabkan bunyi bising.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Polis Daerah Brickfields Asisten Komisioner Ku Mashariman Ku Mahmood berkata, suspek yang merupakan lelaki berusia 35 tahun yang juga rakan kepada penyewa lain di rumah berkenaan berasa berang dengan pertengkaran pasangan itu.
Kata beliau,perselisihan faham itu tidak terhenti di dalam rumah sebaliknya menyebabkan berlakunya kejadian khianat kenderaan apabila suspek yang memandu didapati dengan sengaja melanggar kenderaan pengadu yang keluar dari parkir.
“Kenderaan pengadu mengalami kerosakan teruk namun pengadu tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, Ku Mashariman berkata, bertindak atas laporan daripada seorang lelaki berusia 40 tahun pada 22 April lalu suspek ditahan pada pukul 6.15 petang kelmarin.
Beliau berkata, semakan mendapati suspek mempunyai pelbagai rekod jenayah lampau dari 2014 dan masih dikehendaki bersabit kes jenayah di daerah Cheras.
“Suspek direman tiga hari bermula Rabu sehingga hari ini bagi siasatan mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan.
“Kertas siasatan akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan tuduh,” jelasnya.
Terdahulu, rakaman yang menunjukkan kejadian itu turut tular dalam media sosial.


































