KUALA LUMPUR: Lima anggota polis yang dipercayai terlibat dalam kes samun warga asing di sebuah residen di Jalan Tun Razak, di sini, 7 April lalu bakal berdepan tindakan dalaman.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd. Isa berkata, kelima-lima anggota terbabit masih bertugas namun pihaknya akan mengambil tindakan susulan selepas melengkapkan kertas siasatan.
Beliau berkata, kertas siasatan sebelum ini telah dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya (TPR) namun ada beberapa perkara perlu ditambah sebelum dikembalikan semula.
“Kelima-lima anggota polis itu masih bertugas namun tidak aktif. Mereka belum ditukar tetapi tindakan untuk jabatan mesti ada (akan diambil).
“Bagaimanapun, kita tunggu beberapa arahan TPR sebelum dibuat apa-apa keputusan (tuduh atau sebaliknya),” katanya kepada pemberita selepas Majlis Perhimpunan Bulanan Kontinjen Kuala Lumpur di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Rusdi berkata, kesemua suspek termasuk seorang lelaki yang masih bebas mempunyai peranan masing-masing dalam kes terbabit.
“Mereka ada berperanan sebagai ketua, ada beri alamat atau ajak. Antara mereka ada yang peranannya kecil dalam kes itu.
“Mungkin suspek yang peranannya kurang dan beri keterangan bagus, kita akan pilih sebagai saksi,” ujar beliau.
Rusdi turut menyeru suspek kelapan yang dikehendaki pihak polis, Mohamad Ardzwan Mohd. Anuar untuk tampil memberi kerjasama pihak polis bagi melengkapkan siasatan.
Beliau percaya lelaki terbabit masih berada di sekitar Lembah Klang.
“Kita mohon kerjasama dia dan orang ramai untuk tampil memberi keterangan agar tindakan sewajarnya dapat diambil,” katanya.
Pada 9 April lalu, media melaporkan tujuh individu termasuk lima anggota polis ditahan selepas menyamun lelaki warga asing menyebabkan kerugian RM260,000 di sebuah residen di Jalan Tun Razak.
Rusdi dilaporkan berkata, polis menerima laporan samun dan menyamar polis membabitkan lelaki warga asing yang mengalami kerugian jam tangan dan wang tunai.
Katanya, mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan dalam kejadian itu.


































