Anwar Ibrahim
KOTA KINABALU: Hasrat mengurangkan 11,000 ketua isi rumah (KIR) miskin tegar di Sabah diyakini dapat dilakukan pada tahun ini.
Daripada 25,000 KIR miskin tegar yang direkodkan sebelum ini, ia berjaya dikurangkan kepada 11,000 orang dan jumlah itu diharap dapat dikurangkan sebanyak mungkin.
Menurut Utusan Malaysia, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau telah mengerahkan Pejabat Pembangunan Negeri Sabah (ICU) Jabatan Perdana Menteri (JPM) bersama kerajaan negeri dan semua agensi supaya jumlah 11,000 KIR miskin tegar itu dapat dikurangkan secepat mungkin.
Katanya, kemiskinan tegar harus dinoktahkan di seluruh negara termasuklah Sabah.
“Saya ucapkan terima kasih kepada Ketua Menteri dan menteri berkaitan. Jumlah itu akan dapat dicapai dan direalisasikan dan dalam masa singkat, kita mampu kurangkannya,” katanya semasa berucap sempena Majlis Sambutan Aidilfitri Madani di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) hari ini.
Menurut beliau, jika dilihat Kuala Lumpur, Negeri Sembilan, Melaka, Johor, Perak dan Pulau Pinang telah berjaya menoktahkan miskin tegar jadi, dengan beberapa langkah lain, isu miskin tegar di Sabah juga mampu diselesaikan.
“Saya memberi dukungan penuh kepada Ketua Menteri untuk menerajui dan menyelesaikan masalah ini dengan kerjasama Kerajaan Persekutuan. Hubungan baik ini memberi turut manfaat kepada Kerajaan Persekutuan,” katanya.
Mengulas lanjut katanya, ICU JPM telah memperuntukkan RM36.1 juta bagi pelaksanaan program khas di negeri Sabah.
Anwar berkata, keutamaan Kerajaan Madani adalah meningkatkan mutu kehidupan rakyat dan jika dilihat lebih 80 gerai dan warung telah ditingkatkan kebersihan dan keindahannya kerana ia digunakan lebih 80 peratus rakyat.
Terdahulu dalam perjumpaan khas bersama Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Sabah, Anwar menyambut baik hasrat MPN yang memberi fokus kepada dua hala tuju penting di Sabah untuk menyelesaikan isu kemiskinan dan pendaftaran kewarganegaraan.
Usaha mempergiatkan program menangani masalah kemiskinan di Sabah dengan menoktahkan kemiskinan akan menjadi keutamaan MPN Sabah.
“Kedua, mereka mahu memastikan kerjasama Kerajaan Persekutuan dan negeri dalam urusan pendaftaran rakyat yang belum mendapat kewarganegaraan tapi, tentunya mengikut syarat-syarat ditentukan oleh negara ini.
“Saya nampak fokus diberikan itu adalah masalah kemiskinan dan orang yang tidak mempunyai kartu yang sah,” katanya.