Wilfred Madius Tangau (tengah) menyampaikan bantuan awal Yayasan Bank Rakyat (YBR) kepada pelajar daripada golongan asnaf dan B40 yang terlibat.
TUARAN: Seramai 60 pelajar daripada golongan asnaf dan B40 di daerah ini menerima bantuan awal Yayasan Bank Rakyat (YBR) bagi menyambung pengajian ke peringkat tinggi.
Bantuan tersebut hasil kerjasama YBR dengan Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Tuaran yang menyediakan bantuan kewangan kepada penerima yang layak sebagai memulakan semester atau menyediakan peralatan pengajian diperlukan masing-masing.
Menurut Utusan Malaysia, Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau berkata, beliau amat berterima kasih kepada YBR di atas bantuan diberikan dalam membantu golongan yang memerlukan di Tuaran untuk mendapatkan pendidikan lebih baik.
Menurutnya, bantuan tersebut merupakan kali kedua untuk dua tahun berturut-turut.
“Saya amat berharap usaha ini dapat dikekalkan kerana masih ramai yang memerlukan bantuan dalam pendidikan serta secara tidak langsung dapat mengurangkan bebanan kewangan ditanggung oleh keluarga di kawasan luar bandar,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sementara itu, Pengerusi YBR, Datuk Philip Benedict Lasimbang berkata, bantuan tunai diberikan adalah inisiatif bagi mengurangkan bebanan kos sara hidup yang semakin meningkat akibat kemelesetan ekonomi terutamanya bagi rakyat di kawasan pedalaman.
Untuk rekod, bagi tahun 2023, seramai 3,580 pelajar telah menerima manfaat melalui bantuan awal pengajian YBR dengan jumlah peruntukan sebanyak RM2.29 juta di seluruh negara.