Lee Zii Jia berdepan keputusan sukar untuk menyertai Piala Thomas 2024 atas alasan Sukan Olimpik Paris yang semakin hampir.
KUALA LUMPUR: Pemain perseorangan profesional negara, Lee Zii Jia berdepan keputusan sukar sama ada mahu menyertai Piala Thomas hujung bulan ini demi memberi tumpuan persiapan Sukan Olimpik Paris 2024.
Menurut Utusan Malaysia, hasrat Zii Jia itu dimaklumkan selepas Pengarah kejurulatihan Akademi Badminton Malaysia (ABM), Rexy Mainaky mengadakan mesyuarat bersama jurulatih pemain nombor 10 dunia itu, Wong Tat Meng dan kakaknya yang juga merangkap pengurusnya, di sini Selasa.
Rexy memberitahu, pemain itu masih belum membuat keputusan untuk bertanding dalam Piala Thomas hujung bulan ini.
“Mesyuarat hari ini saya bersama pasukan Zii Jia berbincang mengenai penglibatannya ke Piala Thomas. Beliau belum memberi kata putus untuk beraksi ke kejohanan itu.
“Olimpik semakin dekat dan dia mempunyai banyak kejohanan yang perlu dilalui. Beliau bersama pasukannya mengambil berat beban kejohanan nanti.
“Piala Thomas penting buatnya (Zii Jia) namun Olimpik juga merupakan acara paling terbesar. Bagaimanapun, keputusan belum dimuktamadkan lagi dan saya bersama Persatuan Badminton Malaysia (BAM) akan berbincang mengenainya,” kata Rexy ketika latihan di ABM, Selasa.
Zii Jia bakal berdepan jadual kejohanan yang ketat bermula Malaysia Masters (21 Mei), Terbuka Singapura (28 Mei), Terbuka Indonesia (4 Jun) dan Terbuka Australia (11 Jun) sebelum mebawa cabaran Malaysia di Sukan Olimpik Paris pada 26 Julai in.
Jika Zii Jia mengetepikan pasukan dalam Piala Thomas sekali gus menjadi tamparan hebat buat negara serta BAM.
Rexy turut mengulas mengenai Ng Tze Yong yang menunjukkan perkembangan positif semasa latihan dalam gelanggang.
Selain prestasi pemain nombor 18 dunia itu, Rexy turut berkata mengenai pemain muda, Justin Hoh yang sedang mencari rentak permainan berikutan diketepikan enam bulan akibat kecederaan tendon.
“Tze Yong semakin hari semakin pulih. Beliau sudah boleh menjalani latihan namun tetap berwaspada pada pergerakan yang ekstrem susulan kecederaan belakangnya,” katanya.
Dua lagi pemain bagi acara perseorangan lelaki dalam Piala Thomas boleh dipilih menerusi Leong Jun Hao dan Eogene Ewe yang akan berlangsung di Chengdu, China pada 28 April hingga 5 Mei ini.