Manchester United belum mempunyai perancangan terhadap Mason Greenwood (kanan), namun pada masa yang sama tidak membenarkan Getafe memanjangkan tempoh pinjaman ke atas pemain itu.
LONDON: Impian Getafe untuk memanjangkan tempoh pinjaman Mason Greenwood tidak mendapat lampu hijau daripada Manchester United.
Menurut Utusan Malaysia, United difahamkan hanya bersedia melepaskan pemain itu sekiranya mendapat tawaran perpindahan secara kekal daripada kelab kelab La Liga itu.
Pemilik bersama The Red Devils, Sir Jim Ratcliffe juga tidak menutup pintu untuk menerima semula Greenwood di Old Trafford pada musim depan.
“Kami perlu mempertimbangkan beberapa cadangan untuk Greenwood dan setakat ini tiada keputusan dibuat,” kata Ratcliffe mengenai masa depan Greenwood.
Greenwood dipinjamkan kepada Getafe pada 1 September lalu selepas pemain itu digantung susulan dakwaan serangan seksual terhadap bekas teman wanitanya.
Bagaimanapun, mahkamah Britain memutuskan semua pertuduhan ke atasnya berkaitan serangan seksual dan keganasan domestik digugurkan.
Sejak berpindah ke Getafe, Greenwood telah mempamerkan rentak konsisten apabila berjaya menjaringkan lapan gol dalam 24 perlawanan.
Bukan itu sahaja, penggempur berusia 22 tahun itu turut mencipta 23 peluang menjaringkan gol, lima bantuan jaringan, 23 percubaan tepat dan 610 hantaran dalam semua pertandingan musim ini.
Situasi tersebut menyaksikan Getafe terdesak untuk mengadakan perbincangan dengan pengurusan The Red Devils sama ada mahu menebus kontrak Greenwood atau melanjutkan tempoh pinjaman.






























