ROMPIN: Polis daerah ini sedang menyiasat laporan seorang pelajar sebuah kolej vokasional di sini yang mendakwa cedera dirotan kerana tidak menunaikan solat sunat tarawih, semalam.
Mangsa berusia 18 tahun dikatakan cedera di bahagian belakang badan, punggung dan lengan kanan akibat dipukul sebanyak 10 kali oleh guru yang warden asrama kolej tersebut.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Polis Daerah Rompin, Deputi Superintenden Nor Azman Yusof berkata, kejadian dikatakan berlaku pukul 7.45 pagi di kawasan perhimpunan bahagian bawah asrama kolej berkenaan.
Katanya, mangsa membuat laporan di Ibu Pejabat Polis (IPD) Daerah pukul 5.33 petang kelmarin ditemani ibu saudaranya.
“Mangsa mendakwa dirotan oleh guru bersama rakan-rakannya yang lain kerana tidak menyertai solat tarawih.
“Terdapat kesan kecederaan di belakang badan, punggung dan lengan kanan pelajar terbabit dipercayai dirotan,” katanya di sini.
Menurut Nor Azman, kejadian terbabit disiasat mengikut Seksyen 324A Kanun Keseksaan (KK) kerana dengan sengaja mendatangkan kecederaan.





























