Anwar Ibrahim
PUTRAJAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan supaya aspek penguatkuasaan dan pemantauan ditingkatkan susulan kenaikan harga makanan di pasaran ketika ini.
Menurut Utusan Malaysia, Perdana Menteri berkata, beliau mengakui berlaku kenaikan harga makanan di pasaran dan ia dilihat membebankan rakyat sedangkan harga gula terkawal, manakala harga ayam pula sudah turun.
“Saya tidak nafikan, di lapangan kadang harga tinggi. Saya lihat ada rakan komen, harga beras turun, (harga) gula terkawal, harga ayam turun berbanding dua ke tiga tahun lalu, tapi harga makanan naik,” katanya ketika berucap pada Perhimpunan Warga Kementerian Kewangan, di sini hari ini.
Pada masa sama, katanya, harga gula dan beras di Malaysia adalah paling murah di Asia Tenggara, namun situasi itu turut mengundang aktiviti penyeludupan.
“Ada masalah juga apabila harga murah kerana penyeludupan bertambah. Laporan dalam mesyuarat keselamatan baru-baru ini mendedahkan di Pulau Sebatik, satu pertiga (rakyat) Malaysia, dua pertiga (rakyat) Indonesia.
“Tapi keperluan minyak mentah, beras, gula, semuanya untuk satu pulau,” katanya.
Justeru, katanya, Malaysia kini terpaksa menanggung subsidi untuk dua pertiga lagi penduduk Pulau Sebatik.
Pulau Sebatik terletak di Pantai Timur Borneo, terbahagi kepada dua bahagian, iaitu utara dalam wilayah Sabah, Malaysia, manakala selatan milik Kalimantan Utara, Indonesia.
Justeru, Anwar berkata, program penyasaran subsidi dan kaedah percukaian baharu perlu diperkenalkan supaya ia tidak menekan golongan di bawah dan memberi keadilan supaya golongan mahakaya tak ambil faedah daripada subisidi.

































