KOTA KINABALU: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sabah berjaya merampas rokok dan minuman keras pelbagai jenama dalam empat serbuan berasingan sekitar Penampang dan Sepanggar antara 6 hingga 18 Mac lalu.
Kesemua nilai rampasan berjumlah RM5.42 juta iaitu RM1.07 juta nilai rampasan manakala, cukai dan duti terlibat berjumlah RM4.35 juta.
Menurut Utusan Malaysia, Penolong Ketua Pengarah Kastam Zon Sabah, Datuk Mohd. Nasir Deraman berkata, dalam empat serbuan berasingan itu, pihaknya berjaya menemukan 177,381.80 liter minuman keras dan 930,000 batang rokok pelbagai jenama.
Beliau berkata, tiada tangkapan dibuat semasa serbuan dan siasatan lanjut sedang dilaksanakan untuk mengesan pemilik stor, pemilik kenderaan dan pengimport yang terlibat.
Katanya, dalam serbuan pertama pada 6 Mac lalu, kira-kira pukul 11.50 pagi pihaknya berjaya mengesan minuman keras yang diseludup masuk ke negara ini melalui Pelabuhan Sepanggar.
“Pemeriksaan awal menemukan sejumlah 22,049.28 liter minuman keras dengan anggaran nilai harga RM167,133.54 dan anggaran nilai duti serta cukai terlibat berjumlah RM850,837.62.
“Dalam serbuan kedua yang dilakukan pada 11 Mac, kira-kira pukul 3.40 petang, anggota Unit Operasi Penguat kuasa membuat serbuan ke atas stor tidak bernombor di Kampung Ramayah, Penampang dan menemukan minuman keras dan rokok pelbagai jenama yang disyaki tidak bercukai disimpan di dalam stor tersebut.
“Jumlah minuman keras yang dirampas adalah sebanyak 42,568.48 liter yang berjumlah RM246,344.27 dan rokok yang dirampas adalah sebanyak 891,600 batang dengan anggaran nilai berjumlah RM103,272.00 dan cukai serta duti yang terlibat adalah berjumiah RM975,013.44.
“Turut disita adalah sebuah lori dan van yang diparkir di kawasan berkenaan. Lanjutan daripada itu, satu lagi serbuan dilakukan pada 14 Mac dan menemukan tiga buah lori yang memuatkan minuman keras sebanyak 1,626.76 liter dan rokok pelbagai jenis dan jenama sebanyak 38,400 batang dengan nilai keseluruhan termasuk cukai dan duti sejumlah RM1 juta,” katanya dalam sidang akhbar, di Wisma Penguat Kuasa, Sepanggar hari ini.
Bagi serbuan ketiga dan keempat yang dilakukan di Pelabuhan Sepanggar pada 15 dan 18 Mac lalu masing-masing menemukan sejumlah 89,088 liter dan 22,049.28 liter minuman keras pelbagai jenama, dengan jumlah keseluruhan RM85,760 dengan cukai dan duti sejumlah RM1.73 juta.
Mohd. Nasir berkata, modus operandi bagi kes minuman keras yang cuba dibawa masuk melalui Pelabuhan Sepanggar adalah membuat pemalsuan maklumat dengan mengisytiharkan barangan itu sebagai barang lain bagi mengaburi mata pihak berkuasa.
Sementara itu, modus operandi bagi kes rokok dan minuman keras yang disimpan di dalam stor tidak bernombor adalah menyembunykan barang tidak berkastam dengan niat mengelak cukai dan mendapatkan kelebihan perniagaan di pasaran tempatan.
Untuk itu, kes sedang disiasat di bawah seksyen 135 (1) (a) Akta Kastam 1967 laitu mengimport barang-barang larangan yang tertakluk pada butiran tiga (3), Jadual ketiga, bahagian dua (2) Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2023 dan Sek. 135(1)(d) Akta Kastam 1967 iaitu kesalahan menyimpan barang larangan.


































