SEREMBAN: Polis mengesahkan telah menerima laporan mengenai kejadian seorang lelaki yang dirawat di sebuah pusat pemulihan penagih dadah persendirian di Lenggeng di sini yang didakwa menjadi mangsa dera serta dibelasah teruk sehingga mengalami kecederaan di sebelah matanya seperti yang tular di media sosial.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Polis Daerah Nilai, Superintenden Abdul Malik Hasim berkata, pada pukul lebih kurang 6.58 petang hari Selasa lalu, kaunter aduan Balai Polis Broga telah menerima laporan polis dari seorang wanita menyatakan adik iparnya telah dipukul semasa berada dalam sebuah pusat pemulihan dadah di daerah Nilai.
“Siasatan awal mendapati mangsa telah dipukul sejak mula mendaftar masuk ke pusat pemulihan dadah tersebut kira-kira tiga bulan yang lalu.
“Mangsa mengalami kecederaan di seluruh anggota badan akibat dipukul oleh pekerja pusat pemulihan tersebut. Mangsa kini sedang mendapatkan rawatan di sebuah hospital kerajaan untuk menjalani pembedahan,” katanya ketika dihubungi.
Berikutan itu, Abdul Malik berkata, kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan.
Beliau menambah, orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menyalurkannya ke Pusat Kawalan Daerah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Nilai di talian 06-7904389.
Terdahulu, tular di media sosial mengenai kejadian berkenaan membabitkan mangsa berusia 37 tahun dan dipercayai telah didera dan dibelasah dengan teruk di sebuah pusat pemulihan penagih dadah persendirian di Lenggeng, Negeri Sembilan.
Lelaki tersebut sebelum kejadian itu telah dihantar oleh ibu bapanya untuk menerima rawatan di pusat pemulihan berkenaan.































