Elvish Yadav ditahan selepas disyaki membekalkan bisa ular sebagai dadah rekreasi di sebuah parti di Noida, India.
NEW DELHI: Youtuber terkenal India, Elvish Yadav ditahan polis selepas didakwa membekalkan bisa ular untuk digunakan sebagai dadah rekreasi di sebuah parti hiburan tahun lalu.
Menurut Utusan Malaysia, penyiar India NDTV melaporkan, bintang realiti TV dan pempengaruh yang mempunyai lebih 15 juta pengikut di laman YouTube itu kini ditahan di bawah Akta Hidupan Liar.
Sebuah parti liar di dewan bankuet di Noida diserbu pada November lalu dan polis merampas sembilan ekor ular termasuk ular tedung bersama botol berisi 20 mililiter racun ular yang disyaki digunakan dalam dadah oleh pengunjungnya.
Polis melancarkan siasatan dan menyoal lima individu yang kemudian menamakan Yadav sebagai penganjur parti dan pembekal bisa ular tersebut.
Yadav, yang memenangi rancangan Big Brother versi India, Bigg Boss OTT menafikan semua pertuduhan dan berkata akan bekerjasama sepenuhnya dengan polis.
Bintang itu direman selama 14 hari dalam tahanan kehakiman empat bulan selepas mula disoal siasat.
Kes itu dilaporkan mula terbongkar selepas polis menerima aduan daripada pertubuhan kebajikan haiwan People For Animals yang mendakwa Yadav serta kenalannya merakam video bersama ular dan bisa haiwan tersebut.


































