Hannah Yeoh
KUALA LUMPUR: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan mendapatkan maklum balas daripada semua pihak mengenai penganjuran Sukan Komanwel 2026 sebelum perkara itu dibincangkan dalam Kabinet pada Jumaat ini.
Menurut Utusan Malaysia, Menterinya, Hannah Yeoh berkata, langkah berkenaan diambil bagi memastikan perbincangan secara menyeluruh dapat dilaksanakan agar keputusan yang dibuat adalah berdasarkan pertimbangan dalam pelbagai aspek.
Hannah berkata, keputusan sama ada Malaysia menerima atau menolak untuk menjadi hos Sukan Komanwel 2026 akan diumumkan selepas Kabinet berbincang.
“Ketika ini, KBS masih giat mengumpul perspektif dan maklum balas daripada semua pihak yang telah menghubungi kita termasuk (pandangan) dalam media sosial, kita baca kesemuanya,” katanya.
Ketika ditanya tentang cadangan menjadi penganjur bersama Singapura, Hannah berkata, beliau tidak boleh mendahului Kabinet dan sedar semua orang sedang menanti-nantikan keputusan yang bakal dibuat oleh kerajaan.
Jelasnya, terpulang kepada kerajaan untuk membuat keputusan akhir dan KBS akan berusaha mendapatkan segala informasi yang diperlukan Kabinet.
“Tetapi, kalau ada maklumat tambahan yang diminta oleh Kabinet kita kena usahakan sebelum pengumuman dibuat dan mungkin KBS memerlukan masa yang lebih panjang bagi mendapatkan segala informasi diperlukan,” ujarnya.
Malaysia ditawarkan menjadi tuan rumah selepas Victoria, Australia mengambil keputusan menarik diri selepas memberikan alasan peningkatan kos penganjuran daripada jangkaan awal AUD2.6 bilion (RM8.09 bilion) kepada AUD7 bilion (RM21.78 bilion).
Kerajaan Victoria juga dilaporkan bersetuju membayar AUD380 juta (RM1.8 bilion) kerana melanggar kontrak, apabila tidak dapat menganjur temasya itu mengikut jadual bermula 17-29 Mac 2026.
Daripada 74 negara dan wilayah yang menjadi ahli Persekutuan Sukan Komanwel (CGF), hanya England, Kanada, Australia, Wales, New Zealand, Jamaica, Scotland, India dan Malaysia (1998) pernah menganjurkan temasya itu.


































